TORRES meraikan kejayaan selepas o Madrid mencatat kemenangan besar 5-1 ke atas Lokomotiv Moscow di Russia. FOTO/AFP
AFP

PARIS: Fernando Torres meledak dua gol ketika Atletico Madrid mencatat kemenangan besar 5-1 ke atas Lokomotiv Moscow di Russia, awal pagi tadi bagi mengisi tempat ke suku akhir Liga Europa.

Skuad kendalian Diego Simeone itu melengkapkan perlawanan peringkat 16 terbaik itu dengan kemenangan 8-1 secara agregat.

Mendahului 3-0 pada aksi pertama pada minggu lalu, Angel Correa menambah kelebihan pelawat di awal permainan sebelum Maciej Rybus menyamakan kedudukan buat pendahulu liga Russia itu.

Begitupun, pencabar kejuaraan La Liga Sepanyol itu menggandakan jaringan pada babak kedua menerusi gol Saul Niguez yang juga gol kelima dalam kempen kali ini sebelum Torres menyumbat dua gol.

Penyerang Sepanyol itu menjaringkan gol pertamanya di pentas Eropah musim ini menerusi penalti pada minit ke-65 sebelum meledak gol kedua lima minit kemudian.

pqc


TORRES menyempurnakan penalti .FOTO/AFP

Antoine Griezmann yang dikeluarkan daripada bangku simpanan turut meletakkan namanya selaku penjaring gol berpunca daripada sepakan sudut Correa.

Sementara itu, Marseille meneruskan rentak baik apabila mencatat kemenangan secara agregat 5-2 ke atas Athletic Bilbao untuk melangkah ke suku akhir saingan Eropah buat pertama kali sejak musim 2011/12 dalam kempen Liga Juara-Juara.

Kelab dari Perancis itu yang memiliki kelebihan 3-1 pada pertembungan pertama menang dengan keputusan 2-1 pada aksi kedua dengan gol dijaringkan oleh Dimitri Payet dan Lucas Ocampos.

Begitupun, perlawanan turut dicemari insiden keganasan apabila peminat pelawat diserang yang mencederakan dua pengawal keselamatan di bandar berkenaan, kurang tiga minggu selepas seorang pegawai polis maut ketika pertemuan Bilbao dengan Spartak Moscow.

Jurucakap polis daerah Basque, Ertzaintza, berkata pengawal keselamatan itu mengalami kecederaan di bahagian leher disebabkan oleh ‘objek tajam.’

Turut mara ialah wakil Itali, Lazio yang menyingkirkan Dynamo Kiev secara agregat 4-2 dengan wakil Jerman, RB Leipzig turut mara selepas meraih kemenangan secara agregat 3-2 ke atas Zenit St Petersburg.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Mac 2018 @ 8:35 AM