INIESTA (kiri) dikaitkan dengan kelab Tianjin Quanjian. FOTO/AFP
AFP

BARCELONA: Kapten Barcelona, Andres Iniesta mendedahkan menerima tawaran untuk berpindah ke China dan akan membuat keputusan mengenai masa depannya sebelum hujung bulan depan.

Pemain berusia 33 tahun yang diserap daripada akademi remaja Barca sudah membuat lebih 400 penampilan bersama gergasi Catalan itu dan menandatangani ‘kontrak seumur hidup’ dengan kelab itu pada Oktober lalu.

Begitupun selepas kemenangan 3-0 Barca ke atas Chelsea, awal pagi tadi yang mengesahkan tempat buat kelab Sepanyol itu ke suku akhir Liga Juara-Juara, Iniesta mengakui masa depannya mungkin bersama pasukan lain.

“Sebelum 30 April saya perlu membuat keputusan sama ada saya masih berada di Barcelona atau pergi ke China. Saya perlu menilai apa yang terbaik buat saya dan juga kelab,” katanya.

“Ia adalah keputusan yang saya akan bincang bersama dengan kelab terlebih dulu dan kemudian kamu akan mengetahuinya. Saya akan membuat keputusan sebelum 30 April.”

Iniesta dikaitkan dengan kelab Tianjin Quanjian tetapi kelab Liga Super China itu pada minggu ini mengatakan khabar angin itu sebagai ‘palsu’ dan mengancam untuk mengambil tindakan undang-undang untuk menafikannya.

Iniesta sudah menjulang trofi Liga Juara-Juara sebanyak empat kali dan menjuarai La Liga sebanyak lapan kali bersama Barcelona.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Mac 2018 @ 1:59 PM