HEYNCKES (kiri) mahu anak buahnya semangat buru trofi. FOTO/AFP
Reuters

ISTANBUL: Pengurus Bayern Munich, Jupp Heynckes berkata skuad kendaliannya ketika ini ‘lapar’ untuk melengkapkan kempen musim ini dengan menjulang tiga trofi.

Pengendali veteran Jerman itu berkata demikian selepas gergasi Bundesliga itu melengkapkan kemenangan besar secara agregat 8-1 ke atas Besiktas, awal pagi tadi sekali gus mara ke suku akhir Liga Juara-Juara.

Bayern menewaskan Besiktas 3-1 pada aksi kedua peringkat 16 terbaik di laman lawan yang juga rekod 11 kemenangan berturut-turut diraih kelab itu dalam semua kejohanan di bawah kendalian Heynckes.

Heynckes yang membawa Bayern menjuarai Liga Juara-Juara pada 2013 sebelum bersara dan keluar daripada persaraan musim ini begitupun memuji Besiktas dan peminat mereka dengan berkata tidak mudah untuk pasukannya meraih kemenangan itu.

“Sekali pun perlawanan pertama adalah 5-0, ia tidak mudah. Normal untuk pasukan merasa selesa dari masa ke semasa dan kini kami menunjukkan persembahan yang diinginkan.

“Tetapi untuk menjaringkan dua gol di peringkat 16 terbaik dan ia menunjukkan betapa bagusnya pasukan yang kami miliki,” kata pengurus veteran itu.

Sambil mengakui tidak kisah siapa yang bakal ditentang pada aksi suku akhir selepas sesi undian, esok, Heynckes, begitupun berkata Bayern ketika ini mensasarkan tiga piala selepas berada di landasan baik untuk melengkapkan gelaran Bundesliga dan berada di separuh akhir Piala Jerman.

“Sudah tentu kami lapar (melengkapkan tiga kejuaraan). Kami mahu Liga Juara-Juara, kami amat bertekad dan kami juga mahukan Piala Jerman. Tetapi pertamanya kami perlu fokus terhadap sasaran di depan kami.”

Bayern boleh mengesahkan gelaran keenam berturut-turut Bundesliga pada minggu ini.

Satu-satunya perkara negara buat Heynckes ialah kecederaan yang menimpa tonggak tengahnya, Thiago Alcantara yang terpaksa dikeluarkan di awal permainan akibat kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Mac 2018 @ 12:24 PM