PASUKAN profesional dari Itali, Androni Giocattoli-Sidermec (Androni) memulakan 'perang psikologi' menjelang perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2018. - Foto AGENSI
Haika Khazi
mfaizul@bh.com.my


SEBAIK saja menjejakkan kaki ke bumi Malaysia hari ini, pasukan profesional benua dari Itali, Androni Giocattoli-Sidermec (Androni) memulakan 'perang psikologi' dengan menyifatkan saingan merebut gelaran juara perlumbaan Le Tour de Langkawi 2018 (LTdL) tetap terbuka walaupun mereka sebenarnya hadir selaku pasukan pilihan. 

Malah, pengurusnya Androni, Gianni Savio tetap merendah diri biarpun anak buahnya beraksi cemerlang dengan memenangi empat daripada 10 peringkat perlumbaan Jelajah Vuelta a Tachira di Venezuela, pada awal musim ini.

Bagi edisi LTdL kali ini, Androni menyenaraikan enam pelumba termasuk pemenang dua peringkat sprint LTdL 2017 iaitu Malucelli Matteo; Kevin Rivera Serrano (pemenang jersi Raja Bukit); Manuel Beletti (pakar pecut); Alessandro Bisolti (pendaki); Matia Fraporti (pakar pecut) dan Luca Chirico (pendaki) serta Ivan Sosa. 

"Walaupun ada pencabar lain seperti Andrea Guardini di laluan landai dan pelumba Dimension Data (Mekseb Debesay) di peringkat pendakian ke Cameron Highlands, namun kami yakin Androni tetap mampu memberi cabaran.

"Kehadiran beberapa pasukan lain yang turut hebat akan membuatkan lapan hari perlumbaan di LTdL ini sengit, menarik dan terbuka,” katanya Savio yang pernah menjadi prinsipal pasukan Selle-Italia ketika pertama kali tampil dalam LTdL pada 1999 . 

Androni mempunyai kejayaan menarik dalam sejarah penganjuran LTdL apabila pertama kali mengumpul koleksi kemenangan peringkat menerusi Jamie Drew pada Peringkat kedua LTdL 2000. 

Selepas itu, lima pelumbanya muncul pemenang jersi kuning keseluruhan selepas itu, bermula dengan Hernan Dario Munoz pada LTdL 2002; Fredy Gonzalez (2004); Ruslan Ivanov (2008); Jose Serpa (2009) dan kali terakhir Jonathan Monsalve (2011).

Bagaimanapun, Androni agak tenggelam selepas itu dengan kali terakhir mereka mencipta kemenangan adalah menerusi kemenangan peringkat oleh Kenny Van Hummel di Mersing pada 2014.  

"Kami amat menghormati perlumbaan LTdL dan sentiasa cuba memberikan yang terbaik di sini dan tradisi ini akan kami teruskan dalam perlumbaan kali ini,” kata Savio yang baharu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, Kedah, sebentar tadi.  

Perlumbaan Le Tour de Langkawi 2018 dari 18 hingga 25 Mac ini tetap menjanjikan daya tarikan dan cabaran tersendiri biarpun hanya disertai dua pasukan berstatus UCI WorldTour.   

Ini kerana berdasarkan keputusan tahun sebelumnya tiada siapa boleh memberi jaminan pasukan berstatus UCI WorldTour akan muncul juara keseluruhan perlumbaan LTdL 2018.   

Dua pasukan berstatus UCI WorldTour yang bakal bersaing ialah Dimension Data dari Afrika Selatan dan Astana Pro Team dari Kazakhstan, manakala enam pasukan bertaraf pula Pro Continental ialah Wilier Triestina Selle Italia; Androni Giocattoli Sidermec dan Bardiani CSF dari Itali; Manzana Postobon (Colombia); CCC Sprandi Polkowice (Poland) dan Rally Racing dari Amerika Syarikat. 

LTdL 2018 juga bakal disertai 10 pasukan berstatus International Continental, terdiri daripada Mitchelton BikeExchange, Hengxiang dan Gian Cycling Team dari China; Bennelong Swisswelnes dan St George Continental Cycling Team dari Australia; Continental Cycling Team (Thailand), 7Eleven Cliqq Roadbike dari Filipina; Kinan Cycling Team (Jepun); KFC Cycling Team (Indonesia) dan KPSO Bianchi Asia (Korea Selatan).

Manakala, empat pasukan tempatan bakal bersaing ialah Terengganu Cycling Team (TSG), Team Sapura Cycling (TSC), skuad berbasikal kebangsaan Malaysia dan muka baharu, Forca Amskins Racing.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Mac 2018 @ 10:28 PM