M KUMARESAN
Haika Khazi
mfaizul@nstp.com.my


Shah Alam: Penganjur Le Tour de Langkawi (LTdL) 2018, Ciclista Sports Sdn Bhd, memberi jaminan akan membayar wang hadiah kemenangan keseluruhan mencecah hampir RM1 juta kepada pasukan dan pelumba terbabit secepat mungkin sebaik jelajah terkemuka di Asia itu tamat.

Ketua Pegawai Operasi LTdL 2018, M Kumaresan, berkata, pihaknya tiada masalah untuk membayar hadiah kepada pemenang kerana mendapat peruntukan berjumlah RM12 juta yang disalurkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi penganjuran LTdL 2018.

Kumaresan berkata, pihaknya turut menerima penajaan tambahan berupa barangan dan wang bernilai oleh pihak tertentu termasuk terbaru kerajaan negeri Terengganu (RM200,000), syarikat NUR Power Group (RM300,000), air minuman Spritzer (3,000 karton) dan 200 topi keledar jenama Givi.

Beliau juga melahirkan rasa gembira kerana segala persiapan untuk penganjuran LTdL 2018 kini mencapai tahap lebih 90 peratus siap termasuk dari segi peruntukan sudah diterima.

“Justeru, saya berharap kita tidak akan menghadapi sebarang masalah kewangan untuk membayar hadiah kemenangan keseluruhan mencecah hampir RM1 juta kepada pasukan dan pelumba yang memenangi perlumbaan LTdL 2018 nanti.

“Saya akan umumkan bila tarikh sebenar pembayaran hadiah kemenangan itu boleh dibuat sebaik saja siri jelajah LTdL 2018 tamat. Malah, seperti biasa jumlah keseluruhan hadiah kemenangan LTdL 2018 adalah seperti biasa iaitu mencecah hampir RM1 juta seperti ditetapkan oleh UCI, sebelum ini,” katanya pada sidang media selepas mengumumkan syarikat penaja LTdL 2018 di sini, semalam.

Dalam pada itu, Kumaresan mengesahkan lebih 2,000 petugas termasuk polis dan marshal bakal ditugaskan untuk menjaga kelancaran pelumbaan LTdL 2018 yang berlangsung di pantai Barat dan Timur Semenanjung Malaysia membabitkan jarak perlumbaan 1,537.2 kilometer, mulai 18 hingga 25 Mac.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan laluan dari Sungai Koyan ke Cameron Highlands mungkin diubah kerana faktor keselamatan pelumba akibat kejadian tanah runtuh berlaku di kawasan terbabit, baru-baru ini.

“Berikutan itu, kita sudah kenal pasti laluan altenatif andai kata jalan Sungai Koyan - Cameron Highlands masih tidak boleh diguna menjelang dua hari perlumbaan tiba.

“Kita sudah menguji dan meninjau keadaan serta aspek teknikal jalan terbabit walaupun ia mungkin lebih mencabar dan jaraknya agak jauh sedikit daripada laluan asal LTdL 2018,” katanya.

Kumaresan juga mengesahkan bahawa semua 22 pasukan yang akan menyertai LTdL 2018 dijangka tiba di Langkawi, Kedah mulai Rabu dan Khamis ini kecuali satu pasukan dari Taiwan sudah memaklumkan akan tiba lewat kerana terbabit dengan Tour Taiwan.

Dua pasukan berstatus UCI WorldTour yang bakal menyertai saingan LTdL 2018 ialah Dimension Data dari Afrika Selatan dan Astana Pro Team dari Kazakhstan, selain enam pasukan bertaraf Pro Continental iaitu Wilier Triestina Selle Italia, Androni Giocattoli Sidermec dan Bardiani CSF dari Itali, Manzana Postobon (Colombia), CCC Sprandi Polkowice (Poland) dan Rally Racing dari Amerika Syarikat.

LTdL 2018 juga bakal disertai oleh 10 pasukan berstatus International Continental terdiri Mitchelton BikeExchange, Hengxiang dan Gian Cycling Team dari China, Bennelong Swisswelnes dan St George Continental Cycling Team dari Australia; Continental Cycling Team (Thailand), 7Eleven Cliqq Roadbike dari Filipina; Kinan Cycling Team (Jepun); KFC Cycling Team (Indonesia) dan KPSO Bianchi Asia (Korea Selatan).

Manakala, empat pasukan tempatan bakal bersaing ialah Terengganu Cycling Team (TSG), Team Sapura Cycling (TSC), skuad berbasikal kebangsaan Malaysia dan muka baru, Forca Amskins Racing.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Mac 2018 @ 7:30 AM