MEHMET DURAKOVIC
Azizan Hashim
sukanteam@nstp.com.my


“PERSEMBAHAN menakjubkan pemain Perak,” begitulah rumusan Mehmet Durakovic mengenai kemenangan 3-0 pasukan The Bos Gaurus ke atas Selangor pada aksi Liga Super di Stadium TLDM, Lumut, malam tadi.

“Setiap pemain beraksi dengan baik sepanjang perlawanan.

“Kami menguasai perlawanan dan sepatutnya mampu menang dengan jurang lebih besar.

“Saya gembira dengan kejayaan ini. Alangkah baiknya jika mereka boleh bermain sebegini dalam semua perlawanan kami selepas ini,” kata Durakovic, yang pernah mengendalikan Red Giants sebelum ini.

Pada perlawanan itu, Perak memperoleh semua gol pada separuh pertama hasil jaringan sendiri Ashmawi Yakin, D Kenny Pallraj dan Gilmar Jose Da Silva.

Anak buah P Maniam cuba bangkit pada babak kedua tetapi tidak terdaya untuk menyekat kejayaan tuan rumah.

Jurulatih itu tidak menyangka pasukannya mampu menang dengan selesa menyedari lawan bukan calang-calang pasukan.

“Sebenarnya perlawanan ini tidak mudah kerana Selangor memberi tentangan pada babak kedua.

“Apa pun saya berbangga kerana pemain beraksi mengikut perancangan dan berdisiplin,” katanya.

Durakovic berkata, anak buahnya berhak untuk meraikan kejayaan itu sebelum kembali menumpukan perhatian kepada pertemuan dengan Pulau Pinang pada pusingan ketiga Piala FA, Sabtu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Mac 2018 @ 12:31 PM