MBAPPE (kiri) jaring gol keempat buat PSG. -Foto EPA
AFP

PARIS: Paris Saint-Germain membelasah kelab tercorot Metz 5-0 dalam aksi Ligue 1 awal pagi tadi untuk meringankan derita tersingkir daripada Liga Juara-Juara di tangan Real Madrid Rabu lalu.

Christopher Nkunku,20, meledak dua gol buat PSG di Parc des Princes selain Thomas Meunier, Kylian Mbappe dan Thiago Silva turut menyumbang jaringan.

Keputusan itu kembali meletakkan PSG di puncak liga, 14 mata di depan juara bertahan Monaco dengan baki hanya sembilan perlawanan, membawa mereka hampir untuk merampas kembali gelaran itu.

Kejayaan menyapu bersih trofi domestik buat kali ketiga dalam tempoh empat musim semakin menjadi kenyataan biarpun ia tidak dapat mengubati kekecewaan satu lagi kempen Liga Juara-Juara yang kurang cemerlang.

Kekalahan 1-2 kepada Madrid di laman sendiri menyebabkan mereka tersingkir buat kali kedua berturut-turut pada aksi 16 pasukan terakhir dan sudah pasti menjejaskan peluang jurulatih Sepanyol Emery untuk kekal di kelab itu musim depan.

Emery yang diejek segelintir penyokong tuan rumah, perlu melakukan sesuatu apabia PSG kehilangan penyerang terbanyaknya Edinson Cavani akibat penggantungan dan Neymar yang cedera.

“Semua orang tahu kami kecewa, kami mengecewakan penyokong tetapi kami cuba bangkit sekali lagi,” kata Mbappe.

“Satu perlawanan belum mampu membuatkan kami melupakan segala-galanya. Memang sukar menerima apa yang berlaku tetapi kami pemain profesional, jadi kami perlu lupakan dan teruskan kehidupan.”

Meunier, bek kanan Belgium yang menggantikan Dani Alves dan membuka jaringan dalam tempoh lima minit berkata: “Ia reaksi yang hebat selepas tersingkir.

“Ia sesuatu yang amat positif. Ia memberi kesan positif secara mental dan benar-benar melupakan apa yang berlaku pada Selasa.

“Tiada gunanya hidup dengan penyesalan. Kami masih ada tiga trofi untuk direbut dan dimenangi dan itulah yang penting,” kata Meunier yang pasukannya mara ke separuh akhir Piala Perancis, dan akan menentang Monaco pada final Piala Liga akhir bulan ini.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Mac 2018 @ 8:23 AM