FORKEY Doe (kiri) mengasak penjaga gol Negeri Sembilan, Mohd Ilham Amirullah (kanan) pada saingan Liga Super 2018 di Stadium Darul Makmur. FOTO/FARIZUL HAFIZ AWANG
Asrol Awang
sukanteam@nstp.com.my


SKUAD Pahang tidak berdepan masalah mengutip tiga mata selepas menewaskan Negeri Sembilan 4-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur di sini, sebentar tadi.

Kemenangan skuad Tok Gajah itu sudah dijangka berdasarkan corak permainan menyakinkan yang dipersembahkan skuad kendalian Dollah Salleh itu sebaik wisel ditiup.

Pada perlawanan tadi, peluang terbaik tuan rumah untuk membolosi gawang lawan menerusi Forkey Doe pada minit ke-11 dan ke-13, tetapi berjaya disekat pertahanan lawan.

Kesungguhan pemain tuan rumah gol membur jaringan awal berhasil hasil sentuhan Patrick Cruz yang menewaskan penjaga gol, Muhammad Ilham Amirullah Razali pada minit ke-26.


FORKEY Doe (tengah) meraikan jaringan golnya ketika menentang Negeri Sembilan pada saingan Liga Super 2018 di Stadium Darul Makmur. FOTO/FARIZUL HAFIZ AWANG

Jaringan itu ternyata memberi semangat buat skuad Tok Gajah untuk menambah jaringan, sekaligus memberi tekanan kepada anak buah Azraai Khor Abdullah.

Hasilnya, sebelum berakhir separuh masa pertama, Doe mengukuhkan kedudukan Pahang dengan keputusan selesa, 2-0.

Bersambung di babak kedua, Negeri Sembilan yang gagal untuk menembusi kubu tuan rumah berusaha untuk mengurangkan defisit gol tetapi usaha itu tidak kesampaian.

Sebaliknya, Cruz sekali lagi menambah kekecewaan lawan apabila menjaringkan gol kedua peribadi dan ketiga buat pasukan pada minit ke-65.

Pada minit ke-88, Doe sekali lagi meledak apabila menjaringkan gol keempat buat Pahang untuk mengesahkan kemenangan besar ke atas Negeri Sembilan di laman sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Mac 2018 @ 12:33 AM