WOODS bekerja keras untuk merakam catatan di bawah par buat kali pertama sejak 2015. - FOTO AFP
Reuters

TIGER Woods berhempas pulas untuk merakam catatan di bawah par buat kali pertama sejak 2015 apabila melakukan satu di bawah par 70 pada hari pertama Kejohanan Valspar.

Penampilan juara 14 kejohanan utama itu dilihat tidak menentu apatah lagi beraksi di lapangan par 71 Copperhead di Innisbrook Resort, Tampa, Florida yang terkenal dengan kesukarannya.

Bekas pemain nombor satu dunia berusia 42 tahun itu membenam lima birdie, empat bogey dan sembilan par untuk menamatkan saingan hari pertama bersama kelompok pemain yang ketinggalan tiga pukulan di belakang pendahulu, Corey Conners yang mencatat empat di bawah par 67.

Woods berkata, setakat ini dia berpuas hati dengan permainannya apatah lagi aksi mereka kerap terganggu akibat cuaca buruk.

“Hari ini bakal menjadi ujian terbaik buat semua pukulan yang mahu saya cuba tingkatkan,” kata Woods. “Angin kencang sering mengubah haluan bola tetapi secara keseluruhan, saya dapat mengawalnya.

“Saya masih lagi berusaha memperbaiki permainan. Sedikit demi sedikit, ia sudah mula menjadi.”

Woods memulakan aksinya di lubang par lima sejauh 560 ela dan bolanya mendarat di green dalam tiga pukulan untuk memudahkannya mencatat birdie.

Selepas gagal membenam birdie di lubang 3 dan 4, Woods sekadar mencatat bogey di lubang 5 apabila bolanya terkena pokok.

Woods sekali lagi beroleh peluang untuk birdie di lubang 6 tetapi putt yang dilakukan dari jarak 23 kaki, tidak sampai ke lubang.

Peluang lebih mudah diperoleh di lubang 7 tetapi bolanya tersasar untuk sekadar mencatat par.

Begitupun, dia tidak melakukan sebarang kesilapan di lubang lapan apabila membenam birdie untuk berada di kedudukan satu di bawah par.

Tetapi, ketika aksi Woods dilihat semakin konsisten, dia kembali mencatat bogey keduanya di lubang 9.

Permainan Woods bertambah mantap di sembilan lubang kedua apabila mengumpul dua birdie berturut-turut tetapi putt di lubang 12 yang tidak menjadi mengakibatkan dia kembali mencatat bogey.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Mac 2018 @ 10:02 AM