REZAL beri cadangan bahawa FMLLP perlu berbincang dengan 10 pasukan yang terbabit untuk cari jalan penyelesaian. FOTO/FAIL
Devinder Singh
devinder@nstp.com.my

PERKONGSIAN Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) sepatutnya berbincang dengan 10 pasukan Liga Malaysia (Liga M) yang terbabit dengan isu hukuman denda RM9 juta bagi mencari jalan penyelesaian.

Presiden Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM), Rezal Zambery Yahya, berkata ini penting kerana isu terbabit perlu diselesaikan segera untuk menjaga hubungan antara penganjur Liga M dan pasukan.

Katanya, ini selepas FMLLP menerima kritikan daripada Kuala Lumpur, PKNS dan Persatuan Bola India Malaysia (MIFA) yang menyifatkan hukuman berat itu boleh ‘membunuh’ pasukan mereka.

“Kami tidak mahu campur tangan dalam isu antara FMLLP dengan kelab dan persatuan bola sepak ini terutama dalam hal berkaitan peraturan dan garis panduan,” kata Rezal dalam satu majlis memperkenalkan penaja Anugerah Pemain Terbaik Bulanan PFAM, di sini.

“Saya fikir semua orang sedar mengenai peraturan itu sebelum bermulanya musim ini. Pasukan-pasukan ini tahu yang mereka melakukan kesalahan dan kami harap mereka mengambil peluang ini perbetulkan kesilapan.

“Mereka masih boleh mengemukakan rayuan dan ia lebih baik untuk FMLLP dan semua pasukan ini merancang satu pertemuan untuk membincangkan hal ini.”

Empat pasukan Liga Super iaitu Kuala Lumpur, PKNS, Kelantan dan Selangor semuanya dikenakan denda RM 1.5 juta manakala Kuantan FA, MIFA, Pulau Pinang, PDRM, Sarawak dan Universiti Kebangsaan Malaysia yang beraksi dalam saingan Liga Perdana perlu membayar RM 500,000.

Rezal turut menyambut baik cadangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang meminta pemain berani tampil dalam melaporkan gejala rasuah seperti mengatur perlawanan untuk diberi ganjaran.

“Ia adalah cadangan bagus,” kata Rezal. “SPRM tampak benar-benar serius dalam membanteras gejala mengatur perlawanan ini.

“Pemain perlu berani tampil ke depan untuk menyalurkan maklumat sekiranya mereka didekati bookie. Mereka kini mempunyai platform untuk melaporkannya.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Mac 2018 @ 8:40 PM