DATUK Megat Zulkarnain Omardin (kiri) dan Datuk Ahmad Shapawi Ismail dilantik MOM sebagai Timbalan Chef de Mission (CDM) Malaysia ke Sukan Asia di Indonesia.
Fabian Peter
fabian.mark@nstp.com.my


NAIB Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Megat Zulkarnain Omardin dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail dilantik sebagai Timbalan Chef de Mission (CDM) Malaysia ke Sukan Asia di Indonesia.

Presiden MOM Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja’afar mengumumkan pelantikan itu selepas mempengerusikan mesyuarat lembaga majlis itu di sini, hari ini.

“Kami melantik Datuk Megat dan Datuk Shapawi sebagai Timbalan CDM untuk Sukan Asia di Indonesia.

“Pada temasya sukan di Palembang dan Jakarta itu, kedua-dua mereka akan membuat keputusan bersama berhubung dimana akan berpangkalan nanti,” katanya.
CDM Malaysia bagi temasya Sukan Asia di Jakarta dan Palembang pada Ogos ini adalah Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi.

Dalam pada itu, Tunku Imran berkata tarikh Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) MOM akan ditentukan selepas mendapat kelulusan majlis yang akan bermesyuarat pada 31 Mac.

“Kami akan membentangkan tarikh cadangan untuk AGM pada mesyuarat majlis yang akan dihadiri persatuan sukan kebangsaan. Hanya selepas kelulusan majlis, baru tarikh mesyuarat akan diputuskan.

“Segala-galanya dari pencalonan hingga ke tarikh tutup akan diputuskan selepas kami mengesahkan tarikh AGM,” katanya.

Sementara itu, Tunku Imran mengesahkan MOM sudah pun menerima laporan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 daripada Datuk Marina Chin dan Sukan Olimpik Musim Sejuk di Pyeongchang daripada Datuk Mumtaz Jaafar.

Katanya, perkara lain yang dibincangkan pada mesyuarat lembaga berkenaan termasuk pendirian tegas MOM terhadap gangguan dan penganiayaan dalam sukan.

Sementara itu, CDM Malaysia ke Sukan Komanwel Gold Coast, Huang Ying Low turut membuat pembentangan mengenai kaedah yang digunapakai sejajar dengan garis panduan dan dasar Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) untuk menangani isu berkenaan.

Tunku Imran berkata MOM akan menggunakannya serta mengujinya di temasya sukan berkenaan di Australia dari 4 hingga 15 April ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Mac 2018 @ 11:47 PM