JUWAIDI cemerlang mara ke final Piala Asia. - FOTO/FAIL
Azlan Muhammad Zain
azlanmz@nstp.com.my


PEMANAH compound negara, Mohd Juwaidi Mazuki dan Sazatul Nadhirah Zakaria cemerlang apabila mara ke final siri pertama Piala Asia di Bangkok, sebentar tadi.

   

Juwaidi yang juga pemenang emas Sukan SEA 2015 dan 2017, mengenepikan lawan dari Russia, Anton Bulaev untuk bertemu rakan senegaranya, Alexander Dambaev di final esok.

   

"Saya berharap rentak cemerlang hari ini akan diteruskan bagi menghadapi final esok. Ini adalah kejohanan pertama di bawah kelolaan Majlis Sukan Negara (MSN) bagi persiapan Sukan Asia.

   

"Saya menang dua kejohanan di Bangkok dan Kedah pada awal tahun ini. Jadi saya mahu teruskan rentak positif ini," kata Juwaidi ketika dihubungi.

   

Bagi kategori wanita harapan untuk menyaksikan dua pemanah negara bertemu di final tidak kesampaian apabila Fatin Nurfatehah Mat Salleh kecundang di separuh akhir.

   

Ratu memanah negara itu gagal mengatasi lawan dari India, Muskan Kirar yang meraih 148 mata, kelebihan empat mata.

   

Kirar akan bertemu Sazatul Nadhirah di final esok selepas mengenepikan lawan dari Russia, Mariia Vinogradova 141-138.

   

Saingan recurve menyaksikan Haziq Kamaruddin akan bertemu Gaurav Trambak Lambe pada penentuan gangsa selepas kecundang 7-3 kepada Thomas Chirault dari Perancis pada separuh akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Mac 2018 @ 7:21 PM