MOHD AZRAAI KHOR ABDULLAH
Mohd Amin Jalil
sukanteam@nstp.com.my

 

PERANCANG utama bahagian tengah Negeri Sembilan, Mohd Faizal Abu Bakar, yakin akan dapat meningkatkan lagi tahap prestasinya dengan kehadiran ketua jurulatih baharu pasukan itu, Mohd Azraai Khor Abdullah. 

Pemain berpengalaman berusia 27 tahun itu jelas tidak berdepan masalah mengikuti dan menerima pendekatan dibawa bekas pengendali kebangsaan itu kerana pernah mendapat bimbingan daripada pengendali sama ketika bersama skuad Kedah, sebelum ini. 

Katanya, dia yakin kehadiran Mohd Azraai akan memudahkannya memahami dan mengikut corak persembahan serta taktikal diketengahkan walaupun beliau bakal membuat beberapa perubahan dalam usaha memantapkan persembahan pasukan. 

"Pengalaman berada di bawah bimbingan Mohd Azraai sebelum ini membantu saya untuk mudah mengikuti corak latihan dan taktikal diserapkan beliau. 

"Melalui pengalaman itu juga membolehkan saya berkongsi dengan rakan lain dalam pasukan, sekali gus membantu mempercepatkan lagi proses membina kekuatan baharu kepada pasukan. 

"Kami perlu cepat menyesuaikan diri dengan corak dan taktikal cuba diserapkan beliau kerana komitmen tinggi daripada setiap pemain amat penting ketika cabaran dalam Liga Super semakin sengit," katanya, di sini, hari ini. 

Pemain kelahiran Kuala Nerang, Kedah itu bagaimanapun mengakui, walaupun baharu saja  mengambil alih, perubahan dibawa Mohd Azraai sudah menampakkan kesan apabila pasukan hampir melakukan kejutan ke atas Kedah pada aksi pusingan kedua Piala FA, Jumaat lalu. 

Bekas pemain Kelantan yang masuk musim kedua bersama skuad Hobin Jang Hobin itu berkata, tewas kepada Kedah tidak akan mematahkan semangat, sebaliknya rakan sepasukan akan terus bekerja keras meningkatkan lagi tahap prestasi untuk memburu kejayaan dalam Liga Super. 

"Rakan-rakan juga dilihat begitu bersemangat untuk terus berusaha menjulang nama pasukan musim ini, walaupun tidak dinafikan ada rasa kecewa kerana gagal meneruskan cabaran dalam Piala FA. 

"Kami sudah lupakan kekalahan kepada Kedah dan kini fokus untuk persiapan menentang Pahang, di Stadium Darul Makmur, Jumaat ini. Kami perlu lakukan yang terbaik untuk memastikan misi menewaskan Pahang tercapai. 

"Dengan kedudukan kami di tangga kedua tercorot carta liga, kami perlu mempamerkan tahap kebangkitan lebih baik pada perlawanan akan datang dan menerusi semangat juang tinggi dipamerkan ketika beraksi di Stadium Darul Aman, Jumaat lalu, ia diharap memberi petanda baik untuk kami mencipta kemenangan dalam liga pada aksi berikutnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Mac 2018 @ 1:18 PM