PELUMBA basikal ketika di garisan permulaan perlumbaan Tour of Mediterrennean di Turki. FOTO/ TSC
Haika Khazi
mfaizul@nstp.com.my

PENGURUS Team Sapura Cycling (TSC), Sayuti Zahit berpuas hati dengan prestasi anak buahnya yang bersaing pada perlumbaan Tour of Mediterrennean di Turki, yang berakhir hari ini.

Dalam saingan itu, pelumba TSC, Dylan Page menepati sasaran awal apabila berjaya mendapat tempat ketiga dalam perlumbaan peringkat pertama dari Adana ke Antakya sejauh 196 kilometer (km) pada Jumaat lalu.

Kejayaan itu bertambah manis apabila pelumba TSC, Jahir Perez mendapat tempat kedua bagi kategori Raja Bukit, manakala Page berada di kelompok 10 pelumba terbaik di hari terakhir perlumbaan.

“Saya akan mengambil kira pencapaian setiap pelumba sepanjang Tour of Mediterrennean ini untuk mengenal pasti enam yang bakal disenaraikan bagi menyertai perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) pada 18 hingga 25 Mac ini.

“Kita berharap perlumbaan ini juga dapat membantu pelumba TSC meningkatkan prestasi ketika beraksi di LTdL nanti,” katanya ketika dihubungi di sini, sebentar tadi.

Sebelum ini, TSC turut menghantar barisan pelumba berentap pada Tour of Indonesia dan Kejohanan Lumba Basikal Lebuh Raya Asia (ACC) di Nay Pyi Taw, Myanmar bagi memastikan mereka benar-benar bersiap sedia menghadapi saingan perlumbaan LTdL.

LTdL yang membabitkan perlumbaan sejauh 1,341 kilometer (km) bakal disertai 22 pasukan termasuk dua berstatus Pro Tour iaitu Astana Pro Team dari Kazakhstan dan Dimension Data dari Afrika Selatan.

Selain itu, enam pasukan berstatus Pro Continental iaitu Wilier Triestina Selle Italia, Androni Giocattoli Sidermec dan Bardiani CSF dari Itali, Manzana Postobon (Colombia), CCC Sprandi Polkowice (Poland) dan Rally Racing dari Amerika Syarikat.

Perlumbaan kali ini juga disertai 10 pasukan berstatus International Continental iaitu Mitchelton BikeExchange, Hengxiang dan Gian Cycling Team dari China; Bennelong Swisswelnes dan St George Continental Cycling Team dari Australia; dan Continental Cycling Team (Thailand).

Pasukan lain 7Eleven Cliqq Roadbike dari Filipina; Kinan Cycling Team (Jepun); KFC Cycling Team (Indonesia) dan KPSO Bianchi Asia (Korea Selatan) serta empat pasukan tempatan iaitu Terengganu Cycling Team (TSG), TSC, skuad berbasikal kebangsaan Malaysia dan pendatang baharu, Forca Amskins Racing.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Mac 2018 @ 11:14 PM