REAKSI Lopes selepas menjaringkan kedua Monaco, awal pagi tadi. - FOTO REUTERS
AFP

RONY Lopes meledak gol keenamnya dalam tujuh perlawanan bagi membantu Monaco bangkit menewaskan Bordeaux 2-1 sekali gus mengukuhkan kedudukan di tangga kedua Ligue 1.

Pendahulu liga Paris Saint-Germain mengumpul 71 menjelang kunjungan ke Troyes hari ini, dan Monaco kini pada 60 mata manakala Marseille di tangga ketiga pada 55 mata sebelum melayan kunjungan Nantes esok.

Bordeaux memenangi empat daripada lima perlawanan terakhir mereka sebelum pertemuan ini dan mendahului permainan hasil jaringan Valentin Vada pada minit ke-30.

Pemain yang diburu Arsenal Thomas Lemar mensia-siakan peluang untuk menyamakan kedudukan seminit kemudian tetapi Stevan Jovetic memastikan kedudukan kembali seimbang sejurus sebelum rehat.

Lopes kemudian memastikan tiga mata pada minit ke-69 menerusi jaringan dari sudut sukar.

Lopes sebelum ini meledak lima kali dalam enam perlawanan liga Monaco, termasuk dua gol ketika seri 3-3 di Toulouse minggu lalu. Skuad kendalian Leonardo Jardim itu kini belum tewas dalam 13 perlawanan liga.

Pemain 22 tahun dari Portugal itu bersama bersama Manchester City sebelum dijual kepada Monaco pada tahun 2015.

Selepas dipinjamkan semusim kepada Lille, dia kembali sebagai pengganti Bernardo Silva dan menikmati musim yang memberangsangkan.

“Dia salah seorang pemain yang mempunyai keupayaan untuk berjaya, saya ucapkan tahniah kepadanya,” kata Jardim. “Dia memanfaatkan tempoh lapan bulan sejak kepulangannya.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Mac 2018 @ 10:00 AM