PEMAIN Kelantan meraikan kemenangan. FOTO/FAIL
Hasbullah Ibrahim
sukanteam@nstp.com.my


KELANTAN mara ke pusingan ketiga Piala FA selepas mengatasi Terengganu City FC (TCFC) 2-0 pada aksi di Stadium Sultan Muhammad Ke IV, sebentar tadi.

Tanpa kelibat import dari Korea Selatan, Do Dong Hyun, ia tidak menjejaskan gerakan awal tuan rumah yang dikendalikan jurulatih sementara, Yusri Che Lah.

Malah The Red Warriors (TRW) terlebih dulu membuat percubaan berbahaya dari luar kawasan penalti seawal minit ke-2 menerusi import dari Lubnan, Mohammad Ghaddar namun diselamatkan penjaga gol pelawat, Muhamad Muslim Yusoff.

TRW juga hampir memecah kebuntuan pada minit ke-13 menerusi percubaan Mohd Nor Farhan Mohamad yang hampir memerangkap Muhamad Muslim.

Pencarian gol akhirnya berhasil buat TRW untuk mendahului 1-0 pada minit ke-24 selepas Cassio Francisco menanduk masuk bola sepakan percuma Mohd Badhri Radzi.

TCFC membuat percubaan menerusi sepakan deras Mohd Hafiszuan Salehuddin minit ke-34 namun gagal membolosi gawang tuan rumah untuk kedudukan 1-0 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, TRW berjaya mencipta deretan peluang menambah gol menerusi sepakan Mohammad Ghaddar (m63) dan tolakan Ferdinand Sinaga seminit kemudian namun tersasar.

Yusri membuat pertukaran taktikal menggantikan Ferdinand Sinaga dengan bekas penyerang Johor Darul Ta’zim II (JDT II), Shafiq Shaharudin dan berjaya menambah kekuatan tuan rumah.

Shafiq membuktikan ketajamannya apabila menanduk masuk gol kemenangan Kelantan pada minit ke-73 sekali gus menafikan harapan pelawat untuk mencipta kemaraan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Mac 2018 @ 11:49 PM