KISONA ketika membalas pukulan Jin Wei.
Ferzalfie Fauzi
ferzalfie@nstp.com.my


PEMAIN perseorangan wanita, S Kisona membuktikan peluangnya untuk sekali lagi disenaraikan dalam skuad Piala Uber Mei depan sangat cerah apabila mara ke final Kejohanan Kebangsaan selepas menyingkirkan juara remaja dunia 2015, Goh Jin Wei hari ini.

Kisona yang kali pertama beraksi di Kejohanan Berpasukan Asia (kelayakan Piala Uber), bulan lalu tidak berdepan masalah menumpaskan Jin Wei yang juga rakan sepelatih 21-15, 21-14.

Bagaimanapun, pemain kelahiran Seremban itu tidak memikirkan mengenai peluangnya dalam skuad Piala Uber walaupun mengetepikan perseorangan kedua wanita negara, sebaliknya lebih menumpukan kepada masa depannya dalam tempoh jangka panjang.

“Mungkin saya tidak terlalu memikirkan mengenai Piala Uber kerana ini lebih kepada masa depan saya. Saya yang memilih jalan seperti ini, jadi saya harus sentiasa bekerja keras,” katanya yang bakal berdepan perseorangan utama negara, Soniia Cheah di Stadium Juara, Bukit Kiara esok.


JIN Wei tewas kepada Kisona 21-15, 21-14.

Ujarnya, selepas kali pertama melangkah sehingga ke separuh akhir Kejohanan Kebangsaan, dia bertambah bersemangat untuk berdepan Jin Wei apabila pernah menumpaskan pemain sama di pusingan kedua Thailand Masters.

“Mungkin dari situ saya bertambah yakin untuk berdepan dengannya dan peluang ini hanya akan datang sekali saja, jadi saya mengambil keputusan untuk bermain lebih baik.

“Esok kali pertama saya akan beraksi di final Kejohanan Kebangsaan dan saya rasa sangat istimewa serta teruja. Soniia memang seorang pemain berpengalaman dan saya harus cuba yang terbaik,” katanya.

Sebelum itu dalam satu lagi aksi separuh akhir Soniia menumpaskan Lee Ying Ying 14-21, 21-13, 21-16.

Bagi perseorangan lelaki, seperti dijangka Iskandar Zulkarnain Zainuddin akan berdepan Lee Zii Jia dalam perlawanan akhir esok.

Iskandar Zulkarnain yang diletakkan sebagai pilihan keenam menumpaskan bekas pemain Persatuan Badminton Malaysia (BAM), R Satheishtharan 19-21, 21-7, 21-12.

Zii Jia pula yang sebelum ini membantu skuad lelaki layak ke Piala Thomas secara automatik di Alor Setar menumpaskan Chong Wei Feng 21-9, 21-18.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Mac 2018 @ 8:45 PM