PRESIDEN PBNS, Datuk Seri Mohamad Hasan (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian kontrak Ketua Jurulatih PBNS antara Setiausaha Kehormat PBNS, Datuk Abd Halim Abd Latif (kanan) bersama Azraai di Wisma Negeri, Seremban. FOTO/IQMAL HAQIM ROSMAN
Mohd Amin Jalil
sukanteam@nstp.com.my

SKUAD Negeri Sembilan mendapat suntikan semangat apabila menerima kehadiran ketua jurulatih baharu, Mohd Azraai Khor Abdullah, menjelang misi berdepan Kedah pada perlawanan pusingan kedua Piala FA, di Stadium Darul Aman, Alor Setar, malam esok.

Selepas terpaksa bergelut mencari rentak terbaik dalam saingan Liga Super, kehadiran pengendali berpengalaman berusia 65 tahun itu diyakini mampu menyuntik keyakinan baharu buat pemain skuad Hobin Jang Hobin.

Hakikat itu diakui sendiri penolong kapten, Mohd Fauzan Dzulkifli yang melahirkan keyakinan terhadap kewibawaan serta kemampuan bekas ketua jurulatih kebangsaan itu untuk misi menewaskan Kedah.

Malah, perancang utama berusia 30 tahun itu yakin Azraai mampu memulihkan semula moral pemain dan pasukan, selepas merekodkan prestasi kurang memberangsangkan pada peringkat awal saingan Liga Super.

“Saya dan rakan sepasukan amat teruja dengan pelantikan Azraai selaku ketua jurulatih pasukan ini. Beliau seorang jurulatih berpengalaman dan tiada mana-mana pihak yang boleh menafikan rekod cemerlangnya.

“Banyak pasukan yang mencipta kejayaan bersamanya dan kami yakin kehadiran beliau itu akan dapat meningkatkan mutu persembahan pasukan dan kembalikan prestasi Negeri Sembilan,” katanya di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Mac 2018 @ 6:59 PM