REAKSI Di Maria selepas ledak gol ketika menentang Marseille. - FOTO REUTERS
AFP

ANGEL Di Maria meledak dua gol ketika Paris Saint-Germain menundukkan Marseille 3-0 awal pagi tadi untuk tiket ke separuh akhir Piala Perancis, beberapa jam selepas kelab itu mengumumkan Neymar akan menjalani pembedahan.

Pemain Argentina itu menggantikan Neymar yang mengalami kecederaan dalam kesebelasan utama di Parc des Princes dan menjaringkan gol pertamanya pada akhir babak pertama.

Di Maria menambah gol kedua sejurus selepas separuh masa kedua sebelum Edinson Cavani memastikan kemenangan kedua dengan jaringan 3-0 ke atas Marseille dalam tempoh empat hari susulan kemenangan aksi liga Isnin lalu yang terpaksa dibayar dengan harga yang mahal.

PSG mengumumkan sebelum sepak mula itu bahawa Neymar, pemain termahal dunia akan pergi ke Brazil untuk menjalani pembedahan akhir minggu ini selepas mengalami keretakan pada tulang metatarsus kelima di kaki kanannya.

Kelab itu berkata bahawa Rodrigo Lasmar, doktor bedah pasukan Brazil akan mengendalikan pembedahan itu dan menurut bapanya Neymar dijangka tidak akan beraksi selama enam hingga lapan minggu.

“Kami membuat keputusan bersama membabitkan kelab, pemain itu dan doktor pasukan Brazil,” kata presiden PSG  Nasser Al-Khelaifi.

“Ia satu keputusan yang sukar tetapi itu saja pilihan yang ada. Kami berharap dia akan kembali beraksi secepat mungkin. Saya tidak boleh katakan bila dia akan kembali, semuanya bergantung kepada pemulihan.

Ketiadaan pemain Brazil bernilai 222 juta euro (RM1.06 bilion) memberi tamparan buat PSG yang cuba mengatasi defisit 1-3 ke atas Real Madrid Selasa depan dalam aksi 16 pasukan terakhir Liga Juara-Juara.

Memburukkan keadaan adalah apabila penyerang Kylian Mbappe juga tidak diturunkan pada separuh masa kedua awal pagi tadi akibat kecederaan buku lali.

"Kylian Mbappe cedera di bahagian buku lali. Dia meminta untuk tidak bermain pada separuh masa kedua. Saya harap ia tidak begitu serius,” kata jurulatih PSG Unai Emery.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Mac 2018 @ 8:24 AM