NEYMAR diusung keluar selepas cedera ketika menentang Marseille. - FOTO AFP
Reuters

NEYMAR yang mengalami kecederaan retak tulang kaki akan tersisih selama kira-kira enam minggu, kata bapanya, semalam tetapi tiada sebarang keputusan sama ada kecederaan itu memerlukan pembedahan.

Pemain bola sepak termahal dunia itu dipalit kecederaan ketika aksi Ligue 1, Ahad lalu yang menyaksikan  Paris Saint Germain (PSG) mencatat kemenangan 3-1 ke atas musuh tradisi, Marseille.

Begitupun, pemain Brazil itu terpaksa menahan kesakitan dan mengalirkan air mata apabila dikeluarkan dari padang di Parc de Princes.

Bapanya berkata kecederaan yang diperoleh Neymar sudah pasti akan menghalangnya untuk beraksi pada pertemuan Liga Juara-Juara dengan gergasi Sepanyol, Real Madrid.

“PSG tahu yang mereka tidak dapat menggunakan Neymar untuk beberapa minggu dan mereka tidak dapat menyenaraikannya untuk sekurang-kurangnya enam minggu,” katanya kepada ESPN Brasil.

“Rawatan untuk kecederaannya akan mengambil masa enam ke lapan minggu, kita mengetahuinya, sama ada ia pembedahan atau tradisional, ia pasti enam ke lapan minggu.”

Neymar Sr berkata anaknya dan PSG sedang menunggu untuk bertemu doktor pasukan kebangsaan Brazil sebelum memutuskan sama ada penyerang itu memerlukan pembedahan.

Neymar ketika ini antara pemain utama skuad kebangsaan Brazil dan memainkan peranan penting bersama pasukan ketika Piala Dunia di Russia pada Jun depan.

“Mereka akan memutuskannya bersama,” kata Neymar Sr. “Ia masa yang sukar bagi kami. Kami tidak mahu berada dalam situasi ini. Tetapi kami perlu menerimanya dan membantu Neymar sebaik yang mungkin.”

Neymar Sr berkata demikian ketika ditemuramah secara siaran langsung dan komennya jelas bercanggah dengan kenyataan juurlatih PSG, Unai Emery yang berkata pemain berusia 26 tahun itu mungkin boleh diturunkan bagi aksi bertemu Real.

PSG ketika ini ketinggalan 3-1 secara agregat dengan Real menjelang pertembungan timbal balik peringkat 16 terakhir di Paris, 7 Mac ini.

Neymar sudah menjaringkan 28 gol dan menggerakkan 16 umpanan gol untuk PSG musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Februari 2018 @ 11:19 AM