REAKSI Oscar Garcia (dua dari kanan) selepas terkena objek pada saingan Liga Super Greece pada 25 Februari lalu. - FOTO REUTERS

ATHENS: Jurulatih Olympiakos, Oscar Garcia berkata dia mahu segera melupakan insiden kekecohan penonton Ahad lalu yang menyaksikan dia terpaksa dirawat di sebuah hospital selain pembatalan aksi Liga Super Greece menentang PAOK di Thessaloniki pada hari kejadian.

Pertembungan pendahulu liga PAOK dan Olympiakos itu terpaksa dibatalkan oleh pengadil sebelum ia bermula selepas Garcia cedera di bibir akibat terkena lontaran objek dipercayai gulungan tisu tandas.

“Bagi saya insiden itu mahu segera dilupakan dan saya mahu kembali fokus kepada perlawanan untuk menyiapkan pasukan supaya mereka boleh meningkatkan permainan setiap hari,” katanya menerusi akaun Twitter.

Timbalan Menteri Sukan dan Kebudayaan Greece, Giorgos Vasiliadis kelmarin menganggap perbuatan seorang penyokong PAOK berusia 27 tahun yang berjaya ditahan polis kelmarin sebagai ‘tindakan bodoh yang boleh menggugat peluang pasukannya meraih gelaran kejohanan’.

“Secara peribadi, saya tidak gembira, tidak kira apa juga bentuk hukuman,” kata Garcia sebagai mengulas mengenai kemungkinan PAOK didenda termasuk kehilangan tiga mata selain berdepan aksi di laman sendiri tanpa penonton.

PAOK ketika ini mendahului liga Greece dengan satu mata di depan AEK, manakala Olympiakos, yang juga juara tujuh kali ketinggalan enam mata di tangga ketiga.

Garcia juga mengakui sebarang tindakan ke atas mana-mana pasukan akan memberi kesan kepada semua.

“Saya harap ia tidak berlaku dalam hal ini tiada siapa yang akan menang, pada pendapat saya kami semua tewas sama ada PAOK, Olympiakos, bola sepak Greece atau semua yang sayangkan sukan ini,” kata Garcia.

Dalam insiden itu, Garcia terpaksa bermalam di Hospital Thessaloniki yang dikawal ketat polis  dan hanya dibenarkan keluar keesokan paginya selepas menerima rawatan akibat pening, kesakitan leher dan rasa mual. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Februari 2018 @ 7:34 AM