SAMIR Nasri beraksi untuk Sevilla secara pinjaman daripada Manchester City ketika menggunakan bahan terlarang sewaktu bercuti pada tahun 2016.

BEKAS pemain sayap Manchester City, Samir Nasri dijatuhkan hukuman penggantungan selama enam bulan selepas gagal dalam ujian doping, kata UEFA hari ini.

Jawatankuasa disiplin badan induk bola sepak Eropah itu mendapati Nasri bersalah menggunakan bahan terlarang yang berada dalam senarai bahan larangan Agensi Anti-Doping Dunia (WADA).

Peguam Nasri berkata, kes ini berpunca daripada rawatan memasukkan cecair ke dalam badan pemain itu di sebuah klinik di Los Angeles selepas berasa tidak sihat sewaktu bercuti pada tahun 2016.

Bekas pemain antarabangsa Perancis itu beraksi untuk Sevilla secara pinjaman daripada Manchester City ketika itu.

Maklumat ini mula terdedah bulan lalu selepas UEFA mengesahkan mereka menolak permintaan Nasri untuk menerima pengecualian penggunaan pengecualian penggunaan terapeutik (TUE).

Nasri pernah membawa kes ini kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) yang mana rayuannya ditolak pada Disember lalu, sekali gus membenarkan UEFA meneruskan kes tatatertib terhadapnya.

Nasri ketika ini tidak mempunyai majikan selepas kontraknya ditamatkan oleh kelab Turki, Antalyaspor Ogos lalu. - REUTERS

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Februari 2018 @ 12:14 AM