INSIGNE menjaring gol untuk Napoli. FOTO/AFP
AFP

MILAN: Napoli melonjak empat mata di puncak Serie A awal pagi tadi apabila membelasah Cagliari 5-0 sehari selepas perlawanan Juventus di Turin ditangguhkan akibat salji tebal.

Jose Callejon dan Dries Mertens memberikan skuad Maurizio Sarri dua gol sebelum tamat separuh masa pertama diikuti jaringan kapten Marek Hamsik, penalti Lorenzo Insigne dan sepakan percuma Mario Rui memastikan kemenangan liga kesepuluh berturut-turut buat pasukan berkenaan.

Napoli kini menyasarkan gelaran Serie A ketiga dan yang pertama sejak 1990 dengan fokus utama mereka kini terarah kepada menjulang Scudetto selepas tersingkir daripada Liga Europa dan Piala Itali.

“Ia satu keputusan yang penting,” kata penyerang Napoli Insigne.

“Kami berada di depan tetapi semuanya bergantung kepada kami, kami perlu sentiasa menang. Juve tidak akan mengalah tetapi kami membuktikan karakter dan semangat yang luar biasa.


PEMAIN Napoli meraikan kemenangan selepas membenam Cagliari 5-0. FOTO/AFP

“Kami tidak meletakkan tekanan ke atas sesiapa pun, kami beraksi seolah-olah ia satu perlawanan final. Kami berharap segala-galanya membuahkan hasil nanti.”

Mereka mendominasi Cagliari di Sardina, di mana pasukan berkenaan hanya lima mata dari zon penyingkiran ketika salji membadai di Semenanjung Itali.

Perlawanan Serie A membabitkan pasukan juara Juventus dan Atalanta di Turin terpaksa ditangguhkan berikutan ribut salji di utara Itali.

Napoli mengumpul 69 mata daripada 26 perlawanan, empat mata mengatasi Juventus yang berkelebihan satu perlawanan dengan Lazio naik ke tangga ketiga selepas menumbangkan Sassuolo 3-0 semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Februari 2018 @ 8:27 AM