GARCIA terkena objek di muka. FOTO/AFP
AFP

THESSALONIKI, (GREECE): Jurulatih Olympiakos, Oscar Garcia terpaksa bermalam di hospital yang dikawal ketat selepas cedera di muka akibat terkena objek yang dilontar penonton ketika aksi tetangga PAOK dan Olympiakos yang kemudiannya terpaksa dibatalkan akibat kekecohan penyokong.

Garcia cedera dipercayai terkena tisu tandas yang dilontar ke arahnya oleh seorang penonton seminit sebelum perlawanan bermula.

Garcia, dibawa ke hospital Thessaloniki menaiki ambulans dengan kesan darah di bibir dan mengadu pening.

Polis turut menempatkan anggota untuk mengawal wad Garcia namun pihak hospital enggan mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung perkembangan terbaru pengendali dari Sepanyol itu.

Pengadil, Alexandros Aretopoulos turut meninggalkan stadium tanpa sebarang komen dan akan mengeluarkan laporannya mengenai pembatalan aksi berkenaan kepada Persekutuan Bolasepak Greece hari ini.

Difahamkan PAOK akan didenda tiga mata yang menyaksikan Olympiakos diberikan kemenangan 3-0.

Selain itu PAOK juga berdepan dua atau tiga perlawanan di gelanggang sendiri tanpa penonton selepas ini.

Insiden itu juga menyaksikan pemain Olympiakos terpaksa meninggalkan padang sebagai tanda protes sebelum kekecohan penonton menular di luar stadium.

“Saya selamatkan pemain saya. Selamat tinggal, ” kata Naib Presiden yang juga Pengarah Urusan Olympiakos, Savvas Theodoridis kepada Aretopoulos.

Bagaimanapun, Pengarah Komunikasi PAOK, Kyriakos Kyriakos berkata: “Agak pelik Olympiakos datang ke sini dengan tujuan sebegitu (tangguh perlawanan). Mereka sudah melakukan provokasi selama 30 tahun. Mereka datang ke sini dengan tujuan mahu bersorak dan lakukan provokasi.”

Penyokong PAOK yang berang kemudian bertempur dengan polis yang terpaksa menembak gas pemedih mata bagi mengawal perusuh.

Polis turut menahan seorang penyokong yang didapati membakar tong sampah dan merosakkan kawasan parkir.

PAOK ketika ini mendahului liga Greece dan memiliki kelebihan sembilan mata ke atas Olympiakos di tangga ketiga.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Februari 2018 @ 11:15 AM