PENYOKONG City turut diberi peluang untuk menjulang dan bergambar bersama trofi Piala Liga. FOTO/AFP
Reuters

LONDON: Pengurus Manchester City Pep Guardiola kini boleh tersenyum dan koleksi trofinya di England akan terus dibandingkan dengan pencapaian beliau di Barcelona dan Bayern Munich, kata pemain tengah kelab itu Kevin de Bruyne selepas menjuarai Piala Liga awal pagi tadi.

Musim pertama jurulatih Sepanyol bersama City boleh dianggap satu salah mula (false start) apabila berakhir tanpa sebarang trofi sepanjang kariernya yang membabitkan 11 gelaran utama bersama Barcelona dan tujuh bersama Bayern.

Kemenangan 3-0 di Wembley ke atas Arsenal akan disusuli gelaran Liga Perdana Inggeris dalam tempoh beberapa minggu lagi, malah City juga hampir pasti ke suku akhir Liga Juara-Juara.

Aksi City ketika berdepan Arsenal membuktikan bahawa kekalahan mengejut Piala FA di tangan kelab divisyen ketiga Wigan Athletic Isnin lalu sesuatu yang tidak disengajakan.


GUARDIOLA (dua dari kanan) bersama trofi Piala Liga. FOTO/AFP

“Kami mempunyai musim yang hebat dan kami perlu teruskannya,” kata pemain Belgium, De Bruyne.

“Kami sudah memiliki satu trofi dan kini kami perlu kekalkan fokus yang sama untuk Liga Perdana dan Liga Juara-Juara.

“Potensi kelab ini sungguh menakjubkan, cara kami bermain mungkin antara yang terbaik di dunia.”

Bek kanan Kyle Walker yang dibeli daripada Tottenham Hotspur dengan bayaran 50 juta pound (RM273.7 juta) menjulang gelaran pertamanya biarpun pernah tewas apabila diturunkan pada final kejohanan sama ketika mewakili Tottenham.

“Pencapaian kami musim lalu tidak begitu baik jadi adalah penting untuk memenangi trofi ini,” katanya.

City tidak perlu mempamerkan aksi terbaik mereka pada hari itu.

Jaringan Sergio Aguero, yang kelima dalam lima perlawanan berturut-turut menentang Arsenal, memisahkan kedua-dua pasukan pada separuh masa pertama sebelum City terus mengganas menerusi jaringan kapten Vincent Kompany dan David Silva.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Februari 2018 @ 8:39 AM