KIM Swee dan Maloney akan berguru di Sepanyol. - FOTO/FAIL
Zulfaizan Mansor
zulfaizan@nstp.com.my


KETUA jurulatih skuad bawah (B-23) tahun negara, Datuk Ong Kim Swee dan penolongnya, Brad Maloney akan berlepas ke Madrid, Sepanyol, awal pagi esok.

Kedua-dua individu yang membawa skuad B-23 mencipta sejarah mara ke suku akhir Kejohanan AFC di China, bulan lalu bakal ‘berguru’ bersama kelab Atletico Madrid dan juga pasukan kebangsaan Sepanyol selama sebulan.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin menjelaskan pemergian kedua-dua jurulatih itu ke Sepanyol adalah hasil usaha dan inisiatif daripada Presiden Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Katanya, sasaran utama menghantar mereka adalah bagi meningkatkan kualiti kejurulatihan Kim Swee dan Maloney, sekali gus mampu memberi impak positif buat skuad muda negara menjelang Sukan Asia 2018 di Indonesia, Ogos depan.

“Diharap Kim Swee dan Maloney dapat menggunakan sepenuhnya peluang ini dengan meraih sebanyak mana ilmu baharu sepanjang tempoh sebulan di sana nanti.

“Ia bagi membalas kepercayaan diberikan Tunku Ismail yang mahu memastikan tahap bola sepak Malaysia terutama skuad muda negara terus mencapai peningkatan positif dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kim Swee sebelum ini menegaskan enggan mensia-siakan peluang keemasan untuk berguru di bumi Sepanyol sambil menganggap bukan mudah untuk mendapat peluang seperti itu jika bukan kerana kerjasama baik antara Tunku Ismail dengan kelab La Liga.

“Ia juga membuktikan Tunku Ismail bukan saja amat prihatin terhadap pemain, malah juga barisan kejurulatihan, terutama jurulatih tempatan,” kata Kim Swee.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Februari 2018 @ 6:17 PM