DONG Hyun (kiri) muncul wira dengan mencipta hatrik untuk membantu Kelantan meraih kemenangan pertama di laman sendiri. - FOTO SYAMSI SUHAIMI
Hasbullah Ibrahim
sukanteam@nstp.com.my


KOTA BHARU: Penyerang import Kelantan, Do Dong Hyun muncul wira dengan mencipta hatrik untuk membantu Kelantan meraih kemenangan pertama di laman sendiri selepas mengatasi Perak 3-2 di Stadium Sultan Muhammad Ke IV, sebentar tadi.

Skuad The Red Warriors (TRW) bermula garang mengasak di awal babak pertama namun percubaan Bruno Lopes pada minit ke-6 dan rembatan Mohammad Ghaddar pada minit ke-7 sedikit tersasar.

The Bos Gaurus yang diasak hebat TRW turut mencuri peluang menghasilkan jaringan namun rembatan Wander Luiz pada minit ke-14 diselamatkan penjaga gol tuan rumah, Khairul Fahmi Che Mat.

Perak berjaya menjaringkan gol pertama pada minit ke-21 selepas Mohd Nor Hakim Hassan bijak menolak masuk bola yang mengelirukan untuk menewaskan penjaga gol, Khairul Fahmi.

Bersambung babak kedua, TRW berusaha mencari gol penyamaan dengan membawa masuk Norfarhan Mohamad dan berjaya mencipta deretan peluang menerusi tandukan Lopes pada minit-49, tolakan Ghaddar minit ke-54 dan tandukan Lopes minit ke-59.

Akhirnya gol penyamaan terhasil buat TRW pada minit ke-67 selepas Dong Hyun menanduk masuk bola hantaran lintang Mohd Badhri Radzi menewaskan penjaga gol Perak, Muhammad Hafizul Hakim.

Bagaimanapun, kegembiraan penyokong tuan rumah hanya seketika apabila seminit kemudian Perak menambah jaringan kedua menerusi Wander Luiz pada minit ke-68 untuk mendahului 2-1.

Dong Hyun sekali lagi bijak menghadiahkan gol kedua buat skuad bimbingan Yusri Che Lah selepas menolak masuk hantaran Lopes minit ke-76 untuk menyamakan kedudukan 2-2.

Dong Hyun sekali lagi menjadi wira dengan menghasilkan gol ketiga pada minit ke-87 untuk mendahului pelawat 3-2 dan kedudukan itu kekal sehingga tamat perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Februari 2018 @ 11:31 PM