Zulfahmi bakal dapat rakan sepasukan sekiranya prestasi meningkat. - FOTO OSMAN ADNAN
Fadhli Ishak
fadhli.ishak@nstp.com.my


KETUA Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Razali berkata, Zulfahmi Khairuddin bakal mendapat rakan sepasukan untuk berlumba bersamanya di Moto2 tahun depan.

Menurutnya, kontrak lanjutan Zulfahmi dan rakan sepasukannya itu bergantung kepada prestasi musim ini.

Bagaimanapun, beliau bangga dengan kemampuan Zulfahmi sejak menyertai SIC Racing Team bagi menggantikan Hafizh Syahrin Abdullah pada saat akhir, awal bulan ini. Hafizh menyertai pasukan MotoGP, Monster Yamaha Tech 3.

“Sebenarnya, rancangan asal untuk Zulfahmi ialah menjadi pencari bakat baru pelumba dan sebagai jurulatih dalam program Impian ke MotoGP tetapi peluang diperolehi Hafizh telah membuka peluang buat Zulfahmi menyertai Moto2. Nampaknya, saya tak boleh lari daripadanya,” kata Razlan yang tertarik dengan bakat pelumba itu sejak tahun 2000 lagi.

“Peluang ini berjaya digunakan sebaik mungkin untuk mengembalikan semula kariernya di landasan betul dan bekerja keras untuk itu. Ujian di Valencia memang sukar kerana faktor cuaca tetapi dia melakukannya dengan baik di Sepang dengan catatan masa kurang dua saat berbanding catatan masa petak pertama tahun lalu yang boleh dianggap baik.”

“Zulfahmi mempunyai kontrak setahun tetapi saya akan berusaha mendapatkan pelumba kedua untuk berlumba bersamanya musim depan,” katanya.

Menurut Razlan, pelumba Moto3, Adam Norrodin yang kini bersama pasukan Petronas Sprinta Racing adalah antara pelumba yang mampu mengisi slot kedua itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Februari 2018 @ 9:44 PM