CONTE (kanan) enggan layan sebarang soalan mengenai hubungannya dengan Mourinho. FOTO/AFP
AFP

LONDON: Antonio Conte dan Jose Mourinho tidak lagi ‘berperang mulut’ menjelang pertemuan hangat membabitkan Manchester United dan Chelsea di Old Trafford.

Pengurus Blues Conte beberapa kali bertelagah dengan pengendali United Mourinho sejak tiba di Stamford Bridge pada 2016.

Perselisihan itu bertambah buruk musim ini apabila pengurus United itu berkata beliau tidak perlu ‘berkelakuan seperti badut’ di tepi padang, komen yang dianggap ditujukan kepada Conte yang membalasnya dengan mendakwa Mourinho mungkin sudah ‘nyanyuk’.

Apabila Mourinho kemudiannya mengaitkan Conte yang pernah digantung kerana mengatur perlawanan, jurulatih kelahiran Itali itu menafikannya dan mengakui dirinya tidak bersalah, malah menyifatkan rakan sejawatnya itu seorang yang ‘palsu’ dan ‘lelaki kerdil’.

Pertelagahan baru-baru ini mencapai kemuncak apabila kedua-duanya mengakui saling ‘membenci’ antara satu sama lain.

Namun Conte tidak mahu melayan sebarang soalan mengenai hubungannya dengan bekas jurulatih Chelsea itu ketika sidang media pasukan menjelang perlawanan malam esok.

“Kami saling bercakap perkara buruk sebelum ini. Bagi saya ia OK,” kata Conte. “Saya tidak berminat bercakap mengenai topik ini.”

Mourinho juga mahu terus melupakan pertelagahan itu.

“Saya tidak mahu bercakap mengenainya. Saya beritahu anda sebelum ini, saya tidak akan bercakap mengenainya. Tidak sama sekali,” kata Mourinho

“Itu bukan soalnya. Apa yang penting bagi saya adalah pengurus yang bagus dan pasukan yang hebat. Itu saja.”

United kini di tangga kedua, tiga mata dan dua anak tangga mengatasi Blues dan Conte yakin saingan semakin sengit untuk tiket ke Liga Juara-Juara.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Februari 2018 @ 8:47 AM