LEANDRO (dua dari kiri) terpaksa lupakan aksi menentang Kelantan selepas cedera ketika bertemu PKNS FC. -Foto fail
Azizan Hashim
sukanteam@nstp.com.my


SENARAI kecederaan pemain Perak bertambah panjang apabila Leandro Dos Santos Oliveira menyertai rakan sepasukannya Nasir Basharuddin, Brendan Gan, Nazrin Nawi dan Ahmad Khairil Anuar Zamri serta Mohd Nor Hakim Hassan yang cedera.

Berikutan itu, Perak bertandang ke Kota Bharu bagi menghadapi pertemuan Liga Super dengan Kelantan di Stadium Sultan Mohamed Ke-IV, malam esok tanpa pemain Brazil itu.

Leandro mengalami kecederaan ketika beraksi menentang PKNS FC di Stadium Lumut dua minggu lau.

Jurulatih Perak, Mehmet Durakovic ketika ditemui mengesahkan tidak dapat menurunkan Leandro untuk perlawanan berkenaan.

“Leandro tidak bersama pasukan ke Kota Bharu. Tempatnya akan diambil alih oleh pemain lain,” kata Durakovic.

Namun Durakovic yakin siapa yang ditugaskan nanti bersedia melaksanakan tugas dan amanah diserahkan.

Pada masa jurulatih itu berharap Brendan Gan dan Hakim Hassan dapat beraksi malam esok.

Katanya, Nasir dan Ahmad Khairil belum boleh diturunkan kerana baru dua hari menyertai latihan pasukan.

“Mereka belum boleh lagi diturunkan untuk sementara waktu. Saya akan terus bersabar,” katanya.

Mengenai perlawanan dengan Kelantan, Durakovic berharap pemain Perak fokus terhadap misi menebus kekecewaan tumpas kepada PKNS FC.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Februari 2018 @ 10:20 PM