PASUKAN Ragbi Malaysia (berjersi merah) ketika sesi foto bersama Khairy pada majlis pengumuman kerjasama KRM dengan UEM. -Foto NIK HARIFF HASSAN
Helmi Talkah
helmi.talkah@nstp.com.my


KESATUAN Ragbi Malaysia (KRM) kini boleh menarik nafas lega apabila mempunyai dana yang cukup bagi persiapan skuad kebangsaan menjelang saingan Kejohanan Ragbi Asia (ARC) Divisyen Perdana yang akan berlangsung, April depan. 

Ini selepas konglomerat infrastruktur dan perkhidmatan berasaskan kejuruteraan terkemuka Malaysia, UEM Group Berhad tampil sebagai penaja utama kepada KRM untuk tempoh dua tahun - 2018 dan 2019 - dengan nilai tajaan RM4 juta. 

Presiden KRM, Datuk Shahrul Zaman Yahya, berkata kehadiran UEM sebagai penaja tepat pada masanya selepas badan induk itu bergelut untuk melaksanakan program latihan skuad kebangsaan kerana kekangan kewangan. 

“Kami memang menghadapi kesukaran sebelum ini yang mana kami sendiri tidak pasti boleh meneruskan atau tidak program latihan skuad kebangsaan bagi persiapan menghadapi ARC Divisyen Perdana kerana kekangan kewangan. 

“Kami sepatutnya menghantar skuad kebangsaan menjalani latihan di New Zealand pada November tahun lalu tetapi rancangan itu terpaksa ditukar kerana kekangan kewangan. Akhirnya, kami buat persiapan di ISN (Institut Sukan Negara) saja. 

“Namun, dengan adanya penajaan daripada UEM ini, kami akan menghantar skuad kebangsaan menjalani latihan dan perlawanan persahabatan di Auckland, New Zealand selama tiga minggu, bulan depan. 

Persiapan di sana cukup penting kerana kita akan berdepan pasukan gergasi Asia iaitu Korea Selatan dan Hong Kong,” katanya ketika sidang media pada majlis pengumuman penajaan oleh UEM di sini, hari ini. 

Turut hadir menyaksikan majlis itu Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Pengarah Urusan Kumpulan UEM, Datuk Izzaddin Idris. 

Sementara itu, Izzaddin berkata, pihaknya berbangga dapat menjalin kerjasama dengan KRM yang menyaksikan sukan ragbi kini semakin berkembang pesat selain menghasilkan kejayaan cemerlang untuk Malaysia di pentas antarabangsa. 

“Kerjasama antara UEM dengan KRM menyaksikan pembabitan kami ke dalam dunia sukan, khususnya sukan ragbi yang kini pesat berkembang di dunia. Kami teruja bekerjasama dengan KRM dan berharap sumbangan kami akan membuka jalan untuk pasukan negara menerima sokongan terbaik bagi terus memacu kejayaan di pentas dunia,” katanya. 

Dalam perkembangan lain, Khairy mengumumkan stadium ragbi negara akan dibina di Presint 14, Putrajaya. 

“Sukacita saya ingin maklumkan tapak bagi stadium ragbi sudah dikenal pasti di Presint 14. Perbadanan Putrajaya sebagai tuan tanah sudah bersetuju secara prinsipnya dan saya akan muktamadkan pembinaan berkenaan dalam masa terdekat,” kata Khairy.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Februari 2018 @ 8:13 PM