PEMAIN PSG perlu bangkit tewaskan Real untuk mara ke peringkat seteruskan dalam aksi UCL.
AFP

PARIS: Jurulatih Paris Saint-Germain (PSG), Unai Emery berkata pasukannya akan menggunakan dua aksi akan datang berdepan pencabar utama, Marseille di Parc des Princes sebagai persiapan Liga Juara-Juara menentang Real Madrid.

Pertemuan PSG berdepan Marseille biasanya menjadi saingan terbesar dalam kalendar bola sepak Perancis, namun pengendali dari Sepanyol itu berkata perlawanan Ligue 1 dan suku akhir Piala Perancis minggu depan akan cuba digunakan untuk menghidupkan impian mereka di Eropah.

Pasukan berbelanja besar dari ibu kota Perancis itu tewas 1-3 pada perlawanan pertama kelompok 16 pasukan terakhir ketika Cristiano Ronaldo menjaringkan dua gol buat juara bertahan itu.

“Ini adalah dua ‘clasicos’ (berdepan Marseille) yang akan digunakan sebagai persiapan kami menghadapi Real,” kata Emery dalam laman sesawang peribadinya.

PSG yang seri 2-2 di Marseille awal tahun ini, kini 12 mata daripada kedudukan persada liga Perancis dan bersedia merampas kembali gelaran yang terlucut ke tangan Monaco musim lalu.

Ia akan menjadi mahkota kelima daripada enam musim buat skuad Paris itu.

Namun untuk semua wang dilaburkan ke kelab itu oleh pemilik dari Qatar, PSG masih belum mampu menukar dominasi domestik kepada kejayaan di Eropah dengan kekalahan 6-1 kepada Barcelona setahun lalu sesuatu paling memalukan.

Emery mengundang banyak kecaman kerana persembahan mereka apabila tewas kepada skuad kendalian Zinedine Zidane di Santiago Bernabeu, ketika dia menukar penyerang Edinson Cavani ketika kedudukan masih terikat.

Namun bekas jurulatih Sevilla itu menegaskan PSG lebih baik di laman sendiri ketika mereka pernah menewaskan Barca 4-0 pada pusingan pertama musim lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Februari 2018 @ 11:40 AM