THOMAS Mueller (dua dari kanan) diraikan rakan sepasukan selepas meledak dua gol ketika membantu Bayern membelasah Besiktas, awal pagi tadi. - Foto EPA

THOMAS Mueller berkata Bayern Munich boleh mengulangi kejayaan tiga kejuaraan pada 2013 selepas membelasah Besiktas 5-0 pada pusingan pertama saingan kelompok 16 terakhir Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.

Bayern sudah selangkah ke suku akhir manakala Besiktas berdepan situasi hampir mustahil pada perlawanan kedua dekat Istanbul pada 14 Mac.

Mueller dan penyerang Poland, Robert Lewandowski masing-masing menjaringkan dua gol ketika Bayern bangkit pada babak kedua di Jerman.

“Semuanya tidak mustahil,” kata Mueller apabila ditanya sama ada Bayern boleh mengulangi kejayaan pada 2013 apabila menang Liga Juara-Juara, Bundesliga dan Piala Jerman.

Bagaimanapun jurulatih Jupp Heynckes, 72, yang membawa kejayaan itu lima tahun lalu, menegaskan Bayern mesti melakukan lebih baik jika mahu sekali lagi merangkul tiga gelaran.

“Sebarang cerita seperti itu ialah kerja wartawan, Liga Juara-Juara adalah kejohanan berbeza dan kami mesti meningkat,” kata Heynckes.

“Semua orang di stadium melihat kita berdepan kesukaran pada babak pertama.

“Kami tidak menemui rentak dan kami gementar – saya tidak tahu pasukan saya seperti itu.

“Pada babak pertama, tiada sebarang rentak dalam permainan kami, hantaran kami tidak menjadi dan ia membolehkan Besiktas lebih banyak menyerang.

“Jaringan pembukaan sebelum rehat memberikan kami kelebihan psikologi dan pada babak kedua kita menyaksikan pasukan Bayern yang berbeza.

“Kami menjaringkan antara gol hebat dan bermain bola sepak yang bagus.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Februari 2018 @ 11:37 AM