PENYERANG Bayern, Thomas Muller (kanan) menjaringkan gol pertama perlawanan ketika bertemu Besiktas di Allianz Arena. - Foto REUTERS

THOMAS Mueller dan Robert Lewandowski masing-masing menjaringkan dua gol ketika Bayern Munich membelasah Besiktas yang bermain 10 orang, 5-0 sebentar tadi dalam perlawanan pertama kelompok 16 terakhir Liga Juara-Juara.

Malapetaka bermula buat Besiktas hanya selepas 16 minit apabila Domagoj Vida dibuang padang selepas menjatuhkan Lewandowski ketika penyerang Poland itu cuba menjaringkan gol.

Besiktas bertarung dengan baik dan bertahan sejurus sebelum babak pertama apabila kapten Bayern, Mueller meledak dari jarak dekat.

Pesta jaringan bermula selepas rehat babak pertama di Allianz Arena, Munich ketika Kingsley Coman menjaringkan gol diikuti Mueller untuk jaringan peribadi kedua.

Bayern mendapatkan jaringan keempat pada minit ke-79 apabila Lewandowski menyambar bola yang membias selepas sepakan pertahanan, Mats Hummels ditepis.

Mueller kemudian membantu jaringan buat gol kelima Lewandowski sebelum wisel penamat.

Besiktas yang melakukan kemunculan pertama pada peringkat kalah mati Liga Juara-Juara, berdepan cabaran hampir mustahil pada perlawanan timbal balas di Istanbul pada 14 Mac jika mereka mahu meneruskan kemaraan pada saingan Eropah. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Februari 2018 @ 7:30 AM