PEMAIN NS perlu pastikan kemenangan di kubu sendiri. FOTO/FAIL
Mohd Amin Jalil
sukanteam@nstp.com.my


PERTAHANAN Negeri Sembilan, L Kalaiharasan tidak rela reputasi pasukan itu tercalar ketika mereka melayan kunjungan Terengganu FC (TFC) pada aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Jumaat ini.

Sebaliknya, pemain muda itu mahu memastikan skuad Hobin Jang Hobin dapat bangkit dengan persembahan lebih baik dan meneruskan kejayaan mengutip tiga mata di laman sendiri.

Walaupun sebelum ini mereka gagal mengekalkan rentak terbaik apabila tewas 0-3 kepada Melaka United di Stadium Hang Jebat, selepas menang 2-0 ke atas Kuala Lumpur di laman sendiri, kegagalan itu sudah segera dilupakan.

“Kami sudah lupakan kekalahan kepada Melaka dan kini ingin fokus kepada usaha meraih kemenangan pada aksi menentang Terengganu, Jumaat ini.

“Biarpun sedar tugas kami bukan mudah kerana Terengganu dilihat antara pasukan berwibawa dan pencabar terkuat musim ini, tapi saya yakin dan percaya, semua pemain sudah sedia untuk menggalas cabaran dengan baik.

“Kami akan berusaha memberikan persembahan lebih bertenaga bagi mencabar Terengganu dan mahu pastikan tiga mata di laman sendiri tidak terlepas,” katanya di sini, hari ini.

Kalaiharasan yang mendapat kepercayaan Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS) apabila dinaikkan pangkat beraksi dalam skuad senior bermula musim ini, juga percaya bukan mustahil buat pasukan itu mengulangi aksi cemerlang ketika menang ke atas Kuala Lumpur, 7 Februari lalu.

Pemain kelahiran Port Dickson berusia 22 tahun itu sedar perlunya mereka memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri dengan menterjemahkan kemenangan ke atas skuad Penyu.

Negeri Sembilan menewaskan Terengganu 3-2 pada aksi Liga Perdana di stadium sama tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Februari 2018 @ 5:27 PM