BOOKIE biasanya akan mengkaji mana-mana pasukan yang akan menjadi sasaran mereka sebelum membuka langkah mendekati pasukan itu. - Foto KHAIRUNISAH LOKMAN
Zulfaizan Mansor
zulfaizan@nstp.com.my


BUKAN sahaja mengatur keputusan penuh perlawanan, malah pelbagai elemen lain turut menjadi ‘bahan’ pertaruhan dalam perjudian bola sepak.

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Kerajaan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Za’im Ahmad menjelaskan antara elemen lain yang turut diatur bookie sebagai pertaruhan termasuk minit ke berapa jaringan akan dihasilkan, jumlah gol babak pertama dan kedua serta siapa penjaring gol.

Za’im bagaimanapun berkata, elemen yang digunakan itu bergantung kepada jenis perlawanan itu sama ada aksi liga biasa dan perlawanan penting termasuk separuh akhir atau final.

“Memang bukan saja jumlah jaringan yang biasa menjadi pertaruhan, ia merangkumi pelbagai elemen dengan bookie yang akan menentukan jenis pertaruhan itu.

“Jadi mereka (bookie) akan mendekati pasukan yang menjadi sasaran mereka dengan menawarkan ganjaran yang sukar untuk ditolak oleh pemain atau individu dalam pasukan itu.

“Mereka juga akan bekerjasama dengan ‘orang dalam’ untuk memudahkan urusan termasuk pemain, pegawai pasukan atau individu yang terbabit dengan pengurusan pasukan,” kata Za’im yang pernah berkhidmat selama 10 tahun bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Isu rasuah dalam bola sepak Malaysia kembali hangat diperkatakan apabila dua pemain Liga Perdana Sarawak kini disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas disyaki mengatur perlawanan ketika berdepan FELCRA FC pada 10 Februari lalu.

Selain itu, Za’im berkata, bookie biasanya akan mengkaji mana-mana pasukan yang akan menjadi sasaran mereka sebelum membuka langkah mendekati pasukan itu.

Katanya, antara pasukan yang sering menjadi sasaran adalah yang berdepan masalah kewangan dan pasukan yang sudah tidak mampu bersaing merebut kedudukan teratas.

“Bagaimanapun, semua pasukan sebenarnya terdedah kepada sasaran bookie tanpa melihat pemain memiliki nama besar atau tidak dan pasukan terbaik atau tidak.

“Pelbagai modus operandi yang digunakan bookie dan ia bergantung kepada siapa yang mengendalikan pertaruhan itu atau sejauh mana besarnya operasi pertaruhan mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Februari 2018 @ 10:16 PM