VARDY (kanan) jaring gol tunggal perlawanan.
Agensi

Leicester: Jaringan Jamie Vardy susulan hantaran bijak Riyad Mahrez mengesahkan tempat Leicester City ke peringkat suku akhir Piala FA, tetapi kemenangan 1-0 ke atas Sheffield United, semalam itu jelas belum meyakinkan.

Vardy, Mahrez, Demarai Gray dan Wilfred Ndidi kesemuanya mempunyai peluang untuk menjaringkan gol pada babak pertama menentang kelab Liga Kejuaraan itu tetapi ia berjaya diselamatkan.

Begitupun, The Foxes menjadi pasukan yang layak ke peringkat lapan terbaik disebabkan oleh kualiti yang ditampilkan Mahrez dan Vardy yang jelas menggembirakan pengurus, Claude Puel.

“Untuk memenangi perlawanan dalam kejohanan piala sentiasa sukar,” kata Puel. “Kita akan lihat bagaimana keputusan undian.

“Kami perlu kekal bercita-cita tinggi dalam kejohanan ini tetapi apa yang paling utama adalah mengekalkan tumpuan kami dan semangat berpasukan bagi menghadapi perlawanan yang berikutnya.

“Saya fikir paling utama pada malam ini adalah menang perlawanan, tetapi juga melihat Jamie Vardy dan Riyad Mahrez kembali bermain bersama.

“Di atas padang, mereka mempunyai keserasian yang bagi dan kami mendapat sokongan yang baik daripada penyokong. Ia penting untuk kekal bersatu dan perasaannya juga bagus untuk masa depan.

Pada aksi di Stadium King Power itu, gol tunggal perlawanan dijaringkan penyerang England, Vardy pada minit ke-66 yang juga gol kelima berturut-turut olehnya buat Leicester dalam semua kejohanan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Februari 2018 @ 4:37 AM