AKHBAR harian sukan Barcelona, Sport semalam melaporkan Iniesta menerima tawaran sertai kelab Tianjin Quanjian. - Foto EPA-EFE
AFP

Madrid: Pengendali Barcelona, Ernesto Valverde berharap Andres Iniesta akan kekal di Barcelona susulan laporan yang mengaitkan kaptennya itu ke China pada penghujung musim ini.

“Saya tidak boleh memberi komen kepada setiap berita yang keluar dalam surat khabar,” kata Valverde. “Ia tidak berlaku, dan kami mahu Andres untuk kekal, terus menjaringkan gol dan mencipta peluang gol untuk kami.”

Akhbar harian sukan Barcelona, Sport semalam melaporkan Iniesta, 33, menerima tawaran untuk menyertai kelab Tianjin Quanjian dalam kempen Liga Super China dengan perjanjian mewah bernilai AS$43.5 juta dolar (RM169.39 juta) semusim.

Iniesta yang menjaringkan gol kemenangan Sepanyol pada aksi final Piala Dunia 2010 menandatangani ‘kontrak seumur hidup’ dengan Barca pada Oktober lalu.

Begitupun, dia yang mencecah usia 34 tahun pada Mei ini dan keputusan Barca membeli Philippe Coutinho dari Liverpool bulan lalu dengan nilai 160 juta euro (RM773.03 juta) memberi petanda mereka sudah merancang untuk tidak menggunakan khidmatnya selepas ini.

Javier Mascherano meninggalkan Barca pada penghujung Januari lalu untuk menyertai kelab Hebei China Fortune.

Ditanya sama ada dia bimbang lebih banyak pemainnya akan tertarik dengan tawaran lumayan ke Asia, Valverde berkata perkara itu tidak mencetus kebimbangan.

“Ketika ini ia hanya berlaku kepada Mascherano dan saya tidak akan menjadikan saya gila untuk berfikir mengenai perkara yang belum terjadi.

“Kami tidak mempunyai banyak masa untuk berfikir mengenainya ketika ini memandangkan apa yang kami sedang berusaha untuk lakukan,” kata Valverde.

Barca ketika ini menduduki puncak La Liga tetapi hanya dipisahkan dengan tujuh mata di depan Atletico Madrid dan kelab gergasi Catalan itu dijadual bertemu Chelsea bagi aksi Liga Juara-Juara, Rabu ini. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Februari 2018 @ 1:25 PM