FARIZAL masih gugup sebab lama tidak beraksi. - Foto Hairul Anuar Rahim
Rizar Mohd Noor
sukanteam@nstp.com.my


Johor Bahru: Selepas lapan bulan tidak beraksi dalam saingan kompetitif, penjaga gol Johor Darul Ta’zim (JDT), Farizal Marlias mengakui dirinya seperti ‘mati hidup semula' ketika turun beraksi buat pertama kali menentang Persija Jakarta dalam saingan Kumpulan H Piala AFC, Rabu lalu.

Malah, Farizal bersyukur kerana penantian panjang untuk kembali beraksi sudah berakhir dan lebih manis pastinya kepercayaan pengendali JDT, Ulisses Morais yang masih menaruh sandaran kepadanya mengawal gawang JDT pada perlawanan itu.

"Memang rasa gugup selepas lama tidak beraksi, tetapi galakan dan sokongan daripada rakan sepasukan yang kerap memberi kata-kata semangat mencetus keazaman buat saya mempamerkan aksi terbaik.

"Saya hanya lakukan rutin biasa sahaja dengan mengikut arahan dan tunjuk ajar daripada jurulatih (Khairul Azman Mohamad) sebelum turun beraksi.

"Malah saya mengkaji kekuatan dan kelemahan pasukan lawan. Alhamdullilah semuanya berjalan baik dan kami mendapat keputusan positif dengan menewaskan kelab Indonesia itu 3-0," katanya hari ini.

Tempoh penggantungan yang ditetapkan oleh Konfedarasi Bolasepak Asia (AFC) ke atas Farizal sepatutnya berakhir pada 8 Jun 2018, namun badan induk itu memendekkan tempoh hukuman berkenaan yang berakhir 10 Februari lalu.

Farizal juga menegaskan apa yang terjadi ketika insiden dalam pertemuan menentang kelab dari Filipina, Ceres Negros FC, pada 31 Mei 2017 sehingga dia dilayangkan kad merah sebagai sejarah hitam dan menjadi iktibar kepada dirinya supaya lebih bersabar dan tidak cepat melatah.

"Biarlah ia menjadi sejarah dan saya sudah melupakan detik hitam itu. Kini tumpuan saya untuk memberi sepenuh komitmen buat JDT mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) dan Piala AFC."

Ditanya siapa yang berhak diturunkan mengawal gawang JDT ketika menentang Melaka United dalam aksi Liga Super, 24 Februari ini, Farizal bagaimanapun menyerahkan kepada jurulatih.

“Siapa yang diturunkan terpulang kepada jurulatih dan jika diberi peluang sudah pasti saya akan beri persembahan terbaik. Lagipun, saya dan Izham (Tarmizi Roslan) serta Haziq (Nadzli) kerap bekerjasama dalam sesi latihan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Februari 2018 @ 12:16 PM