PEMAIN tengah Monaco, Rony Lopes (kanan) meraikan gol jaringannya pada aksi Ligue 1 di Stadium Louis II, sebentar tadi. - Foto Reuters
AFP

Monaco: Juara Perancis, Monaco melakar kemenangan besar 4-0 ke atas Gijon di laman sendiri pada kempen Ligue 1, awal pagi tadi yang turut menyaksikan pemain berusia 16 tahun, Pietro Pellegri mencetak namanya dalam sejarah kelab.

Monaco mendahului 1-0 menerusi jaringan Keita Balde selepas 13 minit perlawanan berlangsung sebelum menyumbat tiga lagi gol pada separuh masa kedua.

Bermula dengan penalti Fabinho pada minit ke-69, Monaco terus mengganas menerusi jaringan Rony Lopes pada minit ke-87 diikuti gol pada masa kecederaan pemain Poland, Kamil Glik sekali gus kemenangan ke-17 mereka musim ini.

Kemenangan menyaksikan Monaco yang menghuni tangga kedua Ligue 1 merapatkan jurang kepada sembilan mata di belakang Paris Saint-Germain yang boleh mengembalikan kelebihan 12 mata apabila mereka dijadual bertemu Strasbourg di laman sendiri, hari ini.

Monaco begitupun dipalit sedikit duka apabila kehilangan penyerang, Stevan Jovetic yang mengalami kecederaan otot ketika sesi pemanas badan yang menambah tekanan buat Balde yang baharu kembali daripada penggantungan.

Sementara itu Pellegri, di usia 16 tahun, 10 bulan dan 30 hari menjadi pemain termuda untuk beraksi dengan Monaco apabila dia dimasukkan sebagai pemain gantian pada minit ke-88.

Pellegri menggantikan Balde dan memadam rekod yang sebelum ini dipegang Kylian Mbappe yang berusia 16 tahun, 11 bulan dan 13 hari ketika dia membuat penampilan sulung bersama bekas kelabnya itu pada Disember 2015.

Pemain muda Itali itu tiba di Monaco dari Genoa ketika perpindahan pemain sebelum ini adalah pemain termuda beraksi dalam Serie A dan menjadi pemain pertama yang lahir di abad ke-21 untuk bermain di kejuaraan Itali.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Februari 2018 @ 8:30 AM