MOURINHO (kanan) mungkin terpaksa turunkan Rashford.
AFP

MANCHESTER: Manchester United dilihat terdesak untuk bangkit di pusingan kelima Piala FA menentang Huddersfield, awal pagi Ahad ini yang menjadi perlawanan pertama Red Devils menggunakan teknologi Video Bantuan Pengadil (VAR).

Kekalahan kepada Newcastle, minggu lalu mengekalkan skuad kendalian Jose Mourinho itu di tangga kedua Liga Perdana Inggeris (EPL) tetapi mereka kini hanya dipisahkan empat mata dengan Tottenham yang menghuni tangga kelima liga.

Kunjungan ke Huddersfield - lokasi mereka mencatat kekalahan di awal musim - akan menjadi ujian yang bakal menentukan hala tuju mereka dalam kempen kali ini dengan persoalan besar bagaimana untuk menggandingkan Paul Pogba dan bintang baharu kelab, Alexis Sanchez.

“Amat sukar untuk meletakkan saya di posisi di mana saya perlu mengkritik pemain-pemain saya,” kata Mourinho apabila ditanya mengenai prestasi longlai Pogba.

Bagi sistem VAR, timbul pelbagai reaksi mengenai penggunaannya dalam kempen Piala Liga dan Piala FA.


PENYOKONG United tak sabar lihat kebangkitan pasukannya. FOTO/AFP

Ketika perlawanan pusingan empat Piala FA membabitkan Liverpool dan West Brom, baru-baru ini, ia jelas digunakan sepenuhnya pengadil yang menganugerahkan skuad kendalian Jurgen Klopp penalti, menafikan gol dan mengesahkan gol lawan.

“Apabila orang bertanya kepada kami jika kami menggemarinya, jika kami tidak menyukainya, jika kami bersetuju atau tidak bersetuju, saya fikir secara jujurnya ia adalah soalan untuk pengadil,” kata Mourinho.

“Mereka mahu beraksi sebaik yang mereka boleh, mereka tidak gemar untuk melakukan kesilapan. Dan kadang kala mereka lakukan kesilapan kerana ia adalah kesilapan manusia dan kamu tidak boleh menolaknya melainkan kamu mempunyai sokongan beberapa teknologi.

“Jadi jika pengadil gembira dengan bantuan teknologi, jadi ya, mari kita gunakan VAR. Saya fikir, daripada perspektif saya, saya menggemari perasaannya.”

Bagi perlawanan itu, Mourinho dijangka akan menyenarai barisan terkuatnya termasuk menurunkan semula Marcus Rashford dan Ander Herrera.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Februari 2018 @ 1:10 PM