KUMARESAN mengumumkan lapan laluan LTDL 2018 yang berlangsung pada 18 hingga 25 Mac. - Foto ZUNNUR AL SHAFIQ
Haika Khazi
mfaizul@bh.com.my

PERLUMBAAN Le Tour de Langkawi 2018 (LTdL) sejauh 1,341 kilometer (km) bermula 18 hingga 25 Mac ini bakal disertai 22 pasukan termasuk dua berstatus Pro Tour iaitu Astana Pro Team dari Kazakhstan dan Dimension Data dari Afrika Selatan.

Ketua Pegawai Operasi LTdL 2018, M Kumaresan berkata, LTdL juga bakal disertai enam pasukan berstatus Pro Continental termasuklah Wilier Triestina - Selle Italia; Androni Giocattoli - Sidermec dan Bardiani CSF dari Itali; Manzana Postobon (Colombia); CCC Sprandi Polkowice (Poland) dan Rally Racing dari Amerika Syarikat.

Katanya, perlumbaan kali ini juga disertai 10 pasukan berstatus International Continental dari luar negara dan empat pasukan tempatan termasuk Terengganu Cycling Team (TSG), Team Sapura Cycling (TSC), skuad berbasikal kebangsaan Malaysia dan muka baharu, Forca Amskins Racing.

Manakala, sepuluh pasukan berstatus International Continental yang bakal menyertai LTdL 2018 ialah Mitchelton BikeExchange, Hengxiang dan Gian Cycling Team dari China; Bennelong Swisswelnes dan St George Continental Cycling Team dari Australia; Thailand Continental Cycling Team (Thailand); 7-Eleven - Cliqq Roadbike dari Filipina; Kinan Cycling Team (Jepun); KFC Cycling Team (Indonesia) dan KPSO Bianchi Asia (Korea Selatan).

Dalam pada itu, Kumaresen juga mengesahkan pasukan Bahrain-Merida tidak dapat menyertai LTdL kali ini berikutan perubahan tarikh perlumbaan dan beberapa masalah lain.

“Bagaimanapun, kita akan cuba lakukan yang terbaik bagi memastikan LTdL kali ini berjalan lancar tanpa sebarang masalah termasuk memastikan hadiah wang tunai dapat dibayar kepada pemenang sebaik saja perlumbaan tamat.

“Saya mengakui kita turut terpalit dengan isu kelewatan bayaran hadiah kepada pemenang LTdL sehingga menyebabkan UCI tidak membenarkan kita menganjurkan perlumbaan sehingga ke 10 peringkat, pada kali ini.

“Saya mengakui untuk menganjurkan perlumbaan seperti LTdL ini bukan satu perkara muda. Oleh sebab itulah, saya selalu beritahu anak buah bahawa kita tidak mahu berhutang dengan sesiapa sama ada sebelum atau selepas perlumbaan ini tamat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media ketika mengumumkan perubahan baharu laluan LTdL 2018 selepas UCI hanya meluluskan lapan peringkat berbanding 10 diumumkan syarikat penganjur dan pengurus acara LTdL, CICLISTA Sports Sdn Bhd (Ciclista), sebelum ini.

LTdL 2018 akan memasuki edisi ke-23 sejak mula diperkenalkan pada 1996 dengan kehadiran pelbagai pasukan ternama dunia selain menyediakan pentas kepada pelumba tempatan melakar nama seperti Anuar Manan (Raja Pecut 2010) dan Adiq Husainie Othman (pelumba terbaik Asia 2016) dan Telekom Malaysia Cycling Team yang muncul pasukan terbaik Asia pada 2001 dan 2002.

Mengulas lanjut, Kumaresan berkata, tindakan itu perlu kerana beliau tidak mahu timbul cakap-cakap kononnya Ciclista menipu dan sengaja melewatkan bayaran hadiah kemenangan seperti dijanjikan kepada peserta LTdL sebelum perlumbaan berlangsung.

Terdahulu, Kumaresan mengumumkan perubahan lima laluan LTdL iaitu membabitkan laluan dari Kangar ke Kuala Ketil yang ditukarkan kepada dari Kangar ke Kulim sejauh 147.9km; Temerloh ke Cameron Hinghland (Bentong ke Cameron Highland); Tapah - Kapar (Tapah ke Tanjung Malim); Putrajaya ke Rembau dan Port Dickson ke Batu Pahat (menjadi Nilai ke Muar), manakala Senawang ke Kuala Lumpur(ditukarkan kepada Rembau ke Kuala Lumpur).

JADUAL DAN LALUAN BAHARU LTDL 2018:

*Jumaat, 16 Mac 2018

Pengenalan Pasukan (Pulau Langkawi)

*Ahad, 18 Mac 2018, Peringkat 1

Kangar - Kulim (147.9km)

* Isnin, 19 Mac 2018, Peringkat 2

Gerik - Kota Bharu (208.3km)

*Selasa, 20 Mac 2018, Peringkat 3

Kota Bharu - Kuala Terengganu (166km)

*Rabu, 21 Mac 2018, Peringkat 4,

Dungun - Pekan, (177.6km)

*Khamis, 22 Mac 2018, Peringkat 5

Bentong - Cameron Highlands (169.4km)

*Jumaat, 23 Mac 2018, Peringkat 6

Tapah - Tanjung Malim (108.5km)

*Sabtu, 24 Mac 2018, Peringkat 7

Nilai - Muar (222.4km)

Ahad, 25 Mac 2018, Peringkat 8 (Akhir)

Rembau - Kuala Lumpur (141.1km)

# Jarak keseluruhan 1,341.1km

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Februari 2018 @ 5:29 PM