WAKIL Persatuan Bola Sepak Inggeris (kiri) menandatangani memorandum persefahaman dengan Jawatankuasa Agung Penyerahan dan Legasi Persatuan Bola Sepak Qatar, semalam.

PERSATUAN Bola Sepak Inggeris (FA) yang sebelum ini mengkritik hebat keputusan membenarkan Qatar menjadi tuan rumah Piala Dunia 2022, semalam menandatangani perjanjian kerjasama dengan penganjur kejohanan di sini.

Pengerusinya, Greg Clarke berada di sini bagi menandatangani memorandum persefahaman dengan Jawatankuasa Agung Penyerahan dan Legasi, badan yang bertanggungjawab untuk kejohanan pada tahun 2022 itu, dan Persatuan Bola Sepak Qatar (QFA).

Perjanjian itu akan membantu mempromosi dan meningkatkan bola sepak, berkongsi sumber dan kepakaran serta meluaskan projek pembangunan akar umbi, menurut kenyataan bersama dari organisasi di Qatar.

Kenyataan itu turut berkata FA dan QFA akan meneroka kemungkinan menganjurkan perlawanan persahabatan antara pasukan-pasukan kebangsaan meliputi peringkat usia berbeza.

“Ini adalah peluang keemasan buat kami untuk bertukar pengalaman dan kepakaran dalam pelbagai aspek termasuk pasukan kebangsaan...di mana ia akan mempunyai impak positif terhadap bola sepak menjelang Piala Dunia di Qatar,” kata Presiden QFA, Sheikh Hamad Khalifa Al-Thani.

Clarke yang tiba di ibu pejabat QFA di pusat bandar Doha bersama Duta Britain ke Qatar, Ajay Sharma berkata: “Kami memandang ke depan untuk bermain dan menikmati Piala Dunia menarik yang dianjurkan Qatar pada tahun 2022.”

Bekas pengerusi FA, Greg Dyke sebelum ini pernah berkata yang penganugerahan Piala Dunia 2022, bersama edisi 2018 di Russia, yang England tewas dalam pembidaan, adalah saat paling buruk dalam sejarah FIFA.

Namun dalam perjanjian terbaru itu, Britain bersetuju untuk membantu menyediakan keselamatan udara sepanjang kejohanan berkenaan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Februari 2018 @ 9:59 AM