PEMAIN Negeri Sembilan, Mohd Khairul Izuan Rosli (dua dari kanan) dihalang tiga pemain Melaka United dalam saingan Liga Super, Ahad lalu. Foto RASUL AZLI SAMAD
Mohd Amin Jalil
sukanteam@nstp.com.my


"Kekalahan kepada Melaka United (MU) beri pengajaran berguna kepada kami supaya tidak memandang mudah cabaran setiap pasukan," kata penolong kapten Negeri Sembilan (NS), Mohd Fauzan Dzulkifli.

Perancang utama pasukan itu berkata, walaupun tunduk pada aksi pertama Liga Super kepada PKNP FC di Batu Kawan, tetapi kekalahan 0-3, kepada skuad Kancil pada Ahad lalu, lebih dirasakan.

Katanya, dia dan rakan sepasukan bertanggungjawab sepenuhnya di atas kekalahan itu dan bersedia bangkit memberikan aksi terbaik untuk memastikan kemenangan dicipta pada aksi berikutnya.

"Semua pemain sudah berusaha sebaik mungkin untuk menafikan kelebihan tuan rumah. Malah berjaya mencipta beberapa peluang jaringan tetapi gagal diterjemahkan dengan gol.

"Kami perlu terus berusaha meningkatkan lagi prestasi dan memperbaiki kelemahan kerana sedar cabaran berikutnya lebih sukar. Kami perlu memastikan pasukan tidak kehilangan mata bagi mengelak jurang yang lebih jauh dengan pesaing lain.

"Kami sedar perlunya memastikan pasukan meraih kemenangan pada perlawanan akan datang supaya dapat terus bersaing dan meraih kedudukan baik dalam carta seperti disasarkan," katanya di sini, hari ini.

Selepas menamatkan tiga perlawanan Liga Super, skuad Hobin Jang Hobin berada di tempat kesembilan carta, hasil satu kemenangan yang dicapai ke atas Kuala Lumpur, di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, 7 Februari lalu.

Menurut Fauzan, dia yakin dan percaya, tempoh rehat lebih seminggu sempena sambutan Tahun Baru Cina, bakal memberi ruang untuk mereka mengenal pasti kelemahan dan memantapkan lagi kekuatan pasukan.

Bekas kapten PKNS FC itu berkata, fokusnya tetap ingin membantu skuad Rusa memberikan saingan sengit musim ini sekali gus merealisasikan sasaran yang ditetapkan pengurusan Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS).

"Saya yakin rakan-rakan dalam pasukan juga akan sentiasa fokus untuk menjulang nama pasukan ini, selepas empat musim mereka bersaing dalam Liga Perdana," katanya.

Skuad bimbingan Jorg Steinebrunner itu bakal menanti kunjungan Terengganu FC (TFC 1) pada aksi berikutnya, 23 Februari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Februari 2018 @ 11:44 AM