PELUMBA negara, Hafizh Syahrin Abdullah bakal mengisi slot MotoGP musim 2018. Foto OSMAN ADNAN
Sukhairi Thani
sukhairi@nstp.com.my


JUALAN tiket untuk Grand Prix (GP) Malaysia untuk musim 2018 diramalkan melonjak tahun ini meskipun penganjuran tahun lalu sudah mencapai angka tertinggi sepanjang tiga hari penganjuran.

Ia susulan tiga pelumba negara, Hafizh Syahrin Abdullah, Zulfahmi Khairuddin dan Adam Norrodin bakal mengisi ketiga-tiga kelas dipertandingkan, masing-masing dalam MotoGP, Moto2 dan Moto3.

Meskipun Hafizh belum secara rasmi bersama pasukan MotoGP - Monster Yamaha Tech3, namun pihak Litar Antarabangsa Sepang (SIC) sudah menjangkakan kehadiran yang lebih ramai berbanding tahun lalu, 166,386 penonton sepanjang tiga hari.

Malah pada hari perlumbaan untuk musim 2017, pihak SIC menerima 97,457 kehadiran, meningkat 2,141 berbanding tahun sebelumnya, 95,316.

Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali berkata, dia menjangkakan jumlah kehadiran luar biasa bakal diraih pada penganjuran pusingan 18 di Sepang, 4 November ini.

“Grand Prix Malaysia tahun ini pasti akan lebih meriah,” kata Razlan baru-baru ini sambil menyatakan jadual buat bekas pelumba Moto3 negara, Zulfahmi bakal lebih padat tahun ini.

Selain menyertai Moto2, Zulfahmi juga bakal membantu program pembangunan bakat kendalian SIC, ‘Impian ke MotoGP’

terutama untuk dua pelumba yang dipilih beraksi di Kejuaraan Motosikal Remaja Dunia (CEV) di Sepanyol.

“(Ahmad) Zamani (Baharudin) Zamani dan (Ahmad) Fuad (Baharudin) akan menggantikan Zulfahmi sementara dia berada di luar...dia akan lebih kepada saingan CEV.

“Jadi jadual untuk dirinya lebih padat kerana dengan Impian ke MotoGP, dia perlu melihat prestasi pelumba muda kita di CEV nanti,” kata Razlan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Februari 2018 @ 6:28 PM