KETUA Pegawai Eksekutif Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Yusdi Madeonus Mohamad Yunus (enam dari kiri) menyerahkan jersi kepada Andik sebelum sesi latihan di Stadium Sultan Abdul Halim, Jalan Suka Menanti. -Foto AMRAN HAMID
Rodly Fadly
sukanteam@nstp.com.my

 

KETIADAAN perancang tengah Kedah, Liridon Krasniqi yang digantung permainan akibat menerima kad merah melegakan PKNP FC, namun kelibat Andik Vermansyah kini menjadi ancaman baharu apabila kedua-dua pasukan bertarung di Stadium Negeri Batu Kawan, petang esok.

Ketua pasukan PKNP, Shahrel Fikri Md Fauzi, berkata Andik mampu menjadi pemusnah jika rakan sepasukannya tidak memberi fokus serta membiarkan pemain Indonesia itu bergerak bebas sewenang-wenangnya.

“Sudah tentu ketiadaan Liridon agak melegakan kerana dia adalah kunci utama Kedah namun sekarang Andik pula datang untuk memberi acaman.

“Kehadirannya akan memberi impak besar kepada Kedah. Kita sedia maklum dengan kemampuan pemain itu ketika dia bersama Selangor.

“Andik tidak boleh diberi ruang bergerak bebas kerana dia mampu menjadi pemusnah. Kami perlu merantai dia serta tidak boleh leka walaupun sesaat,” katanya.

Andik yang sah menyertai Helang Merah semalam dijangka diturunkan esok bagi memperkasakan jentera serangan yang kelihatan bergelut untuk memecah benteng lawan apatah lagi ketiadaan Liridon yang digantung secara automatik selepas dilayangkan kad merah.

Selepas dua perlawanan, Kedah belum mengutip sebarang mata serta menghuni tangga kedua terbawah apabila tewas 1-2 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dan 1-3 kepada Perak.

Shahrel yang tidak akan beraksi esok kerana masih dalam proses pemulihan akibat kecederaan pangkal paha bagaimanapun yakin PKNP mampu memberi saingan kepada Kedah. 

Pemain itu berkata, walaupun tewas 0-3 kepada JDT, Selasa lalu, dia menganggap jumlah jaringan dihasilkan menunjukkan PKNP  bukan pasukan yang boleh dijadikan budak belasahan. 

Pasukan bimbingan Abu Bakar Fadzim itu kini mengumpul tiga mata hasil kemenangan 1-0 ke atas Negeri Sembilan pada perlawanan pertama.

“Kalau kami berupaya menyekat JDT daripada berpesta gol di Larkin, saya yakin PKNP mampu mengejutkan Kedah di gelanggang sendiri,” kata Shahrel.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Februari 2018 @ 2:22 PM