MAHREZ (tengah) kembali berlatih bersama Foxes. FOTO/AFP
Reuters

LONDON: Riyad Mahrez menamatkan perselisihan selama 10 hari dengan Leicester City hari ini apabila turun berlatih bersama rakan sepasukannya menjelang aksi Liga Perdana Inggeris di Manchester City, malam esok.

Pemain Algeria itu menaiki bas pasukan ke Manchester walaupun pengurus Claude Puel menyatakan semalam pemain Algeria itu sudah pasti terlepas perlawanan menentang pendahulu Liga Perdana itu.

Media Britain melaporkan Mahrez mengalami “kemurungan” selepas Leicester menolak bidaan Manchester City pada hari terakhir jendela perpindahan untuk mengikatnya.

Pemain berusia 26 tahun itu, yang masih berbaki kontrak dua setengah tahun dengan gaji £100,000 (RM545,000) seminggu, terlepas dua perlawanan dan enam sesi latihan kerana membantah dan tidak kelihatan di kelab itu sejak bulan lalu.

Namun selepas Puel merayu supaya pemainnya itu “bertenang dan kembali bersama kami dan bekerja keras”, Mahrez tiba di padang latihan Leicester awal pagi tadi.

Dia berlatih dengan rakan sepasukannya, jelas tanpa sebarang masalah di sebalik laporan media sesetengah pemain kurang senang dengan tindakannya untuk meninggalkan kelab itu.

Ada laporan menyatakan Mahrez didenda £240,000 (RM1.3 juta) kerana ponteng latihan namun Puel menegaskan beliau menerima semula pemain tengah itu ke dalam perancangannya.

“Riyad seorang pemain yang hebat. Dia sayangkan bola sepak, dia sayangkan hubungannya dengan rakan sepasukan, dia seronok bermain bola. Saya fikir dia perlu kembali, bermain dan menyentuh bola,” kata Puel semalam. “Amat penting dia kembali.”

Pengurus Manchester City, Pep Guardiola, yang mana bidaannya menyebabkan perselisihan itu bulan lalu, berkata hari ini beliau “berharap” Mahrez berdepan City malam esok.

“Saya harap dia kembali segera untuk bermain bola sepak. Kami seronok melihatnya beraksi.”

Tiada sebarang pengesahan daripada Leicester sama ada Mahrez akan disenaraikan dalam skuad 18 pemain.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Februari 2018 @ 12:11 AM