AHMAD Ismail (belakang dua dari kanan) mahu pemain takraw pamer kesungguhan dalam SUKMA 2018. FOTO/FAIL
Haika Khazi
mfaizul@nstp.com.my


TINDAKAN Majlis Sukan Negara (MSN) menyenaraikan semula sepak takraw, taekwondo dan angkat berat sebagai acara di Sukan Malaysia (SUKMA) 2018 di Perak disambut baik Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) Datuk Seri Ahmad Ismail.

Bagi Ahmad, ia adalah langkah tepat serta membuktikan keprihatinan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar terhadap luahan dan nasib yang menimpa atlet-atlet terbabit.

“Saya bersyukur kepada Allah dan terima kasih kepada Menteri Belia dan Sukan kerana keprihatinan beliau memasukkan semula sepak takraw dan dua lagi jenis sukan ke dalam acara SUKMA 2018,” kata Ahmad.

“Saya berharap semua pemain sepak takraw dapat menunjukkan persembahan terbaik bagi membuktikan kesungguhan dan komitmen masing-masing ketika beraksi di SUKMA 2018 nanti.”

Ahmad berkata demikian ketika mengulas laporan media berkenaan pengumuman MSN semalam untuk memasukkan semula sepak takraw, taekwondo dan angkat ke dalam acara SUKMA 2018 di Perak, tetapi ia tetap digugurkan daripada senarai sukan teras.

Keputusan itu dibuat pada mesyuarat jawatankuasa tertinggi SUKMA bagi memberi peluang kepada sepak takraw, taekwondo dan angkat berat untuk dipertandingkan semula pada SUKMA 2018 Perak sebagai sukan pilihan.

Pada 18 Disember lalu, Lembaga Pengurus MSN yang dipengerusikan Khairy menggugurkan tiga jenis sukan teras itu buat pertama kali sejak tahun 2007, sekali gus memberi tamparan hebat buat sukan terbabit apabila tidak boleh dipertandingkan pada SUKMA.

Dalam perkembangan lain, Ahmad berkata pihaknya juga sedang menyusun semula strategi dan program pembangunan bagi memastikan sukan sepak takraw kembali dimasukkan ke dalam program sukan teras MSN, pada masa depan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Februari 2018 @ 6:50 PM