AFP

Los Angeles: Bekas pertahanan bola sepak Amerika (NFL) yang mewakili Dallas Cowboys, Tony Romo (gambar) akan tampil buat pertama kali dalam Kejohanan Golf Jelajah PGA di Republik Dominica, bulan depan.

Romo, yang bersara dari NFL April tahun lalu, beralih ke bidang penyiaran dan akan beraksi buat pertama kali dalam saingan kompetitif di Kejohanan Kelab anjuran Kelab Golf dan Rsort Corales Puntacana pada 22 hingga 25 Mac depan.

Pemain berusia 37 itu sebelum ini pernah cuba melayakkan diri ke Kejohanan Terbuka Amerika Syarikat (AS) sebanyak tiga kali.

“Sebagai atlet profesional, kecintaan dan keseronokan bertanding tidak pernah terpadam dan meninggalkan anda,” katanya pada sidang media AT&T Pebble Beach Pro-Am, kelmarin.

“Selain keluarga dan bola sepak, golf adalah kegilaan saya. Maka peluang bertanding di Jelajah PGA ini seperti mimpi jadi kenyataan.

“Saya berterima kasih kepada penganjur yang memberi saya peluang menguji kemahiran dalam satu daripada siri jelajah terbaik dunia,” katanya.

Karier 13 tahun bola sepak NFL Romo bersama Cowboys tamat selepas musim 2016 berakhir apabila dia mengalami kecederaan di bahagian belakang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Februari 2018 @ 9:02 AM