MAHREZ (kanan) tidak akan diturunkan berdepan City. -Foto AFP
AFP

LONDON: Pengurus Leicester Claude Puel berharap Riyad Mahrez dapat berfikir dengan tenang dan kembali menyertai pasukan, malah mengesahkan pemain Algeria itu tidak akan diturunkan berdepan Manchester City malam esok.

Ini adalah perlawanan ketiga diadakan tanpa kehadiran pemain sayap itu sejak Pep Guardiola yang mengendalikan City gagal mendapatkan pemain sasaran mereka pada hari terakhir perpindahan, 31 Januari lalu.

Mahrez, 26, tidak menyertai Foxes baik ketika perlawanan mahu pun latihan sejak impiannya menyertai pendahulu Liga Perdana Inggeris itu tidak kesampaian.

Puel enggan mendedahkan sama ada beliau sudah bercakap dengan Mahrez sejak ketiadaannya pada 30 Januari, sama ada beliau tahu di mana pemain Algeria itu atau mampu mengesahkan bila dia akan kembali.

“Saya fikir Riyad tidak akan bermain untuk perlawanan Sabtu ini. Saya harap dia akan kembali dan bekerja keras secepat mungkin, sudah pasti kita akan meneliti perkara ini,” kata pengurus Leicester itu.

“Perkara paling penting bagi saya adalah terus mengikat Riyad di kelab ini dan penyokong pastinya menerimanya dengan baik. Adalah penting untuk saling bersikap positif ketika berdepan kesukaran seperti ini.”

“Liga Perdana ini masih berbaki 12 perlawanan. Adalah penting untuk bersikap tenang dan memberi tumpuan, mengekalkan suasana positif. Kami perlu menikmati aksi bola sepak dan memandang ke hadapan.

“Saya harap Riyad dapat berfikir dengan tenang dan kembali bersama kami, bekerja keras. Jalan terbaik adalah kembali dan menikmati permainan bola sepak. Dia pemain hebat dan paling penting, menyayangi rakan sepasukan.”

Biarpun ini adalah permintaan kedua pemain itu untuk berpindah dalam tempoh lapan bulan, Leicester dilaporkan meminta sebanyak £80 juta (RM439.2 juta), ketika pemilik City dari Abu Dhabi enggan membayar melebihi £50 juta (RM273.8 juta) bersama seorang lagi pemain tidak dinamakan pada harga £15 juta (RM82.1 juta).

Menambah kemarahan Mahrez adalah wira lain yang membantu kejuaraan Leicester pada 2015-16 iaitu N’Golo Kante dan Danny Drinkwater dibenarkan meninggalkan kelab itu dan menyertai Chelsea tanpa banyak halangan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Februari 2018 @ 7:47 AM